KUALA LUMPUR – BMW Group Malaysia memperkenalkan Mini Clubman Final Edition untuk pasaran tempatan.
Unit Mini Clubman Final Edition yang dipasarkan di seluruh dunia terhad kepada 1,969 sahaja.
Daripada jumlah itu 20 unit untuk Malaysia, kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser.
Menurutnya, model Mini Clubman Final Edition merupakan simbol individualiti yang versatil, didatangkan dengan reka bentuk yang kemas lagi praktikal, meraikan tahun jentera Clubman dibina buat pertama kali pada 1969, dengan bahan-bahan yang diperhalus di samping aneka dekorasi serba eksklusif dalam bentuk aksen Shimmer Copper.
Ruang dalaman luas serta pintu but terbahagi yang unik menggandingkan ciri-ciri kefungsian dengan teknologi automotif yang canggih bagi menaik taraf prestasi kenderaan tersebut, merealisasikan pengalaman pemanduan alaf baharu sambil terus berpegang kepada tarikan yang mendefinisikan jentera Clubman klasik.
Mini Clubman Final Edition menyerlahkan aura eksklusifnya dengan aneka perincian yang unik pada komponennya. Bampar dan gril hadapan serba baharu dipadankan dengan trim Shimmer Copper yang menawan, menonjolkan iras gah sebuah jentera Mini.
Untuk menonjolkan elemen Malaysia, Mini Clubman Final Edition memperlihatkan ketutup sisi yang eksklusif, berglos tinggi pada dapra hadapan, ia turut mempamerkan tandatangan “Final Edition”.
Ini, bersama dengan Mini Cooper S blade di bahagian gril yang turut dihiasi dengan Shimmer Copper menambah sentuhan individualiti yang istimewa untuk edisi tersebut.
Mini Clubman Final Edition turut mencuri perhatian dengan elemen-elemen Piano Black yang menghiasi kereta tersebut dari hadapan hingga ke belakang, memberikan sentuhan yang tampak lebih karismatik pada lampu hadapan, pemegang pintu, dan juga bibir ekzos.
Bukan itu sahaja, Mini Clubman Final Edition juga mengenakan set roda aloi ringan 18 inci dalam bentuk ruji Final Edition dengan corak grafik 2 tona dan rona Shimmer Copper, menjadikannya lebih menarik untuk dilihat.
Memperkayakan aspek individualiti Mini Clubman Final Edition, setiap kenderaan akan memaparkan lencana “1 of 1969” pada tiang C serta “Final Edition” di belakang yang menyerlahkan lagi keeksklusifannya.
Kereta ini dikuasakan oleh enjin Mini TwinPower Turbo 2 liter, yang menjana 192 kk serta tork bernilai 280 Nm, ia mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.2 saat dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 226 km/j.
Digandingkan dengan Transmisi Automatik Sport Dwiklac Tujuh Kelajuan, kenderaan ini menawarkan keupayaan penukaran gear yang pantas, menyelesakan selain mempunyai efisiensi yang optimum.
Kelengkapan standard meliputi sistem bantuan memandu yang membekalkan bantuan lampu puncak, info had kelajuan, amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan, dan amaran kawalan penghampiran objek dengan fungsi pembrekan ringan, membuktikan ketinggian standard keselamatan jentera ini.
Mini Clubman Final Edition bermula daripada RM3,692.00 sebulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80%, perbatuan 100,000 km bagi tempoh tujuh tahun).
Harga runcit Mini Clubman Final Edition ini disyorkan berserta cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak RM318,888 (atas jalan tanpa insurans) didatangkan bersama waranti tanpa had perbatuan untuk tempoh tahun berserta servis berjadual percuma. – MalaysiaGazette