AMMAN – Kerajaan Jordan telah memanggil balik dutanya, Rasan al-Majali, di Israel sebagai bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai masyarakat awam di Gaza.
Menteri Luar Jordan, Ayman Al-Safadi berkata, tindakan Israel merupakan malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku di semenanjung Gaza.
Ini kerana regim Zionis itu melakukan pengeboman berskala besar dan tanpa henti yang turut menyasarkan kem pelarian, hospital, masjid dan gereja hingga menyebabkan hampir 9,000 rakyat Palestin maut.
Jordan turut meminta Israel supaya memanggil pulang dutanya, Rogel Rachman, kerana terdapat ancaman keselamatan terhadap beliau.
Sementara itu Israel menyatakan rasa kesal atas tindakan Jordan melalui ciapan di platform X melalui jurucakap Kementerian Luar Lior Haiat.
Sebelum ini Colombia dan Chile memanggil pulang duta masing-masing dari Israel atas sebab yang sama iaitu jenayah perang yang dilakukan terhadap penduduk awam Palestin.
Sebuah lagi negara Amerika Selatan, Bolivia memutuskan serta-merta semua hubungan diplomatik terhadap Israel kerana menyifatkan tindakan Israel sebagai tidak berperikemanusiaan.
Negara Zionis itu berhadapan dengan krisis diplomatik antarabangsa selepas banyak negara mengutuk Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Israel sebelum ini dilaporkan menarik balik dutanya di Turki selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan berterusan menyelar negara Zionis tersebut. – Agensi