KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pasukan pembelaan yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kes rasuah pembinaan terowong dasar laut untuk memulakan prosiding mencabar kredbiliti saksi utama pendakwaan.
Saksi ke-23 itu, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli didakwa pihak pembelaan telah memberikan keterangan saksi bercanggah dalam kes yang sedang berjalan ketika ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan yang mahu menentukan dalam mahkamah sama ada wujud keterangan bercanggah yang diberikan oleh saksi di Mahkamah Shah Alam dan kemudian di mahkamah di sini.
Azura juga memerintahkan pasukan pendakwaan memberikan salinan pernyataan Zarul ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut melibatkan kes ahli perniagaan, G. Gnanaraja.
Beliau memerintahkan pendakwaan untuk menyerahkan pernyataan kepada mahkamah dalam masa dua minggu.
“Ini untuk membolehkan saya teliti sama ada wujud percanggahan atau sebaliknya. Jika ada, baru salinan itu diberikan kepada pembelaan untuk cabar saksi Zarul Ahmad,” katanya hari ini.
Namun pada masa sama, peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo berhujah supaya pihaknya diberikan terus pernyataan keterangan bagi membolehkan mereka membuktikan wujudnya percanggahan.
Azura juga menetapkan 17 November ini bagi status perkembangan penyerahan pernyataan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya boleh memberikan salinan pernyataan Zarul Ahmad dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
Isu kredbiliti saksi ini timbul pada prosiding lepas apabila pembelaan mendapati keterangan Zarul itu berubah berhubung isu wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diberikan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.
Gobind juga memberi bayangan Zarul Ahmad menipu kerana pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu oleh saksi-saksi lain penyerahan hanya melibatkan wang RM2 juta bukan RM4 juta.
Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. -MalaysiaGazette