Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini membentangkan perbelanjaan kutipan awam bagi 19 calon bertanding pada enam pilihan raya negeri (PRN) serta kutipan banjir Disember 2021.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan, bagi kutipan dana PRN, parti itu berjaya mengutip dana berjumlah RM1,128,407 melalui lebih 50 aktiviti MUDA Hustle.

Ini antaranya melibatkan aktiviti penjualan otak-otak Muar, barangan, futsal, majlis makan mini tertutup dan lain-lain lagi.

Menurut beliau, tiga platform digunakan bagi meraih dana iaitu secara dalam talian, sumbangan ke akaun bank parti dan sumbangan secara terus melalui program yang dianjurkan.

Daripada jumlah yang dikutip sebanyak 76.1 peratus atau RM858,252 digunakan bagi enam PRN terbabit dan baki RM270,155 pula dibawa ke hadapan untuk pilihan raya akan datang.

“Saya ingin kongsikan di sini majoriti perbelanjaan hampir 60 peratus adalah untuk tujuan barangan kempen seperti bendera dan lain-lain.

“Saya ingin nyatakan bahawa parti ini bukanlah berbelanja bermaharajalela. Sebanyak 60 peratus ini hanyalah bagi barang kempen asas. Penerangan kita belanja sedikit sahaja kerana ada kesuntukan kewangan,” katanya.

MUDA membelanjakan RM478,000 bagi barangan kempen dan RM78,852 untuk tujuan penerangan dan RM43,600 bagi data PRN.

Syed Saddiq berkata, purata kos dibelanjakan bagi setiap kerusi yang ditandingi iaitu sebanyak 19 kawasan hanyalah berjumlah RM45,000.

Perbelanjaan PRN MUDA
Perbelanjaan MUDA dalam PRN

Katanya, laporan kewangan PRN adalah laporan kewangan parti yang akan disemak oleh dua juruadit.

Sementara itu sejumlah RM 2.1 juta dikutip daripada 45 ribu dermawan bagi Misi Banjir Mari Bantu yang berlangsung pada Disember 2021.

Misi itu antara lain memberi bantuan kepada 10 negeri yang terjejas banjir, sumbangan sebanyak 100 unit komputer riba, pembinaan sebuah rumah di Hulu Langat di bawah Projek Teduh, bantuan kewangan kepada 300 buah keluarga dan lain-lain lagi.

 

Syed Saddiq berkata, walaupun MUDA menghadapi cabaran dalam proses audit banjir namun ia tetap menjadi keutamaan utama pihaknya.

Ini bagi memastikan audit berjalan dengan telus dan MUDA telah mendapatkan khidmat firma audit BIG 10 terkemuka yang dipercayai. – MalaysiaGazette