AMPANG – Seorang warga asing yang juga penyelenggara elektrik di sebuah rumah pusat jagaan anak yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan di pusat tersebut.
Tertuduh, Zainal Abidin, 27, yang merupakan warganegara Indonesia membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun itu di Jalan Sri Kemuning, Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya, Selangor.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara bertempoh boleh sampai setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu pada 22 Oktober lalu jam lebih kurang 4 petang.
Tertuduh yang berdiri di kandang tertuduh mengaku memahami pertuduhannya dan mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Andullah Sani yang meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan laporan perubatan penuh kes dan tidak menawarkan sebarang wang jaminan.
Bagaimanapun, peguambela mewakili tertuduh , Wan Nur Afifah Che Bakar merayu mahkamah agar membenarkan suatu nilai wang jaminan yang paling minima memandangkan anak guamnya merupakan seorang penanggung tunggal keluarganya iaitu seornag isteri yang tidak bekerja dan dua orang anak yang masih kecil berusia lima tahun dan sembilan bulan.
“Tertuduh bekerja sebagai penyelenggara di rumah anak yatim itu dengan gaji bulanan RM1, 600 serta memiliki dokumen perjalanan yang sah yang perlu diambil kira untuk menawarkan suatu nilai jaminan yang paling minimum,” katanya.
Bagaimanapun, Norhidayah membantah rayuan jaminan tersebut sambil memberitahu mangsa duduk serumah dengan tertuduh di pusat jagaan itu yang dikhuatiri boleh dianggap berisiko menganggu mangsa serta mengenakan jaminan yang tinggi.
Wan Nur Afifah sekali lagi mencelah dan berhujah tertuduh tidak tinggal di rumah jagaan yang diduduki mangsa sebaliknya hanya bekerja di situ.
Norhidayah sekali lagi membantah sambil menjelaskan walaupun mangsa tidak tinggal di rumah jagaan itu sekarang namun dia masih dikhuatiri boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan dalam kes yang sama.
Justeru beliau meminta suatu jaminan yang tinggi sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara dalam soal membenarkan jamin terhadap tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Amalina membenarkan wang jaminan RM4,000 dengan dua penjamin warga Malaysia kepada tertuduh dan syarat tambahan dikehendaki menyerahkan pasport perjalanan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak boleh mendekati mangsa dan saksi-saksi kes.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 9 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan kes.
Terdahulu, di satu lagi Mahkamah Majistret berlainan, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah iaitu selama lima bulan 26 hari dari tarikh ditangkap pada 26 Oktober 2023 di pusat jagaan sama selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Normaizan Rahim oleh jurubahasa.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin mengendalikan pertuduhan ke atas Zainal Abidin di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 dan juga boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh diwakili oleh Wan Nur Afifah dibenarkan wang jaminan RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dengan syarat tambahan menyerahkan pasport di mahkamah serta melaporkan diri setiap dua haribulan di balai polis berhampiran.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes itu pada 9 Januari 2024.
Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan tangkapan ke atas suspek dan direman selama tujuh hari sehingga 2 November ini untuk membantu siasatan.
Siasatan awal mendedahkan punca mangsa dipukul suspek adalah disebabkan telah bermain telefon di dalam bilik.
Pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami lebam di bahagian tepi sehingga belakang paha dan betis selain kesan bengkak di pipi kiri.- MalaysiaGazette