peruntukan ahli parlimen sistem pembayaran terbuka
Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 peratus masalah kesesakan lalulintas yang melibatkan laluan di kesemua arah keluar masuk ke ibu negara dijangka dapat dikurangkan menerusi pembukaan projek Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lebuhraya tersebut yang menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya SPRINT, AKLEH, DUKE, MRR2 dan lain-lain akan dilalui lebih 100,000 kenderaan setiap hari.

“Sebagai contoh, kawasan di sekitar Jalan Syed Putra, Jalan Sungai Besi, Jalan Semarak, Jalan Tun Razak/Jalan Yew, Jalan Genting Kelang, Setiawangsa, Jalan Jelatek dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Kawasan-kawasan tersebut akan mendapat manfaat daripada laluan dan jalan sambungan yang dihubungkan melalui Lebuhraya SPE ini,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Lebuhraya SPE, di Plaza Tol Chan Sow Lin, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis perasmian itu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Alaxander berkata, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak dan sebaliknya dijangka mengambil masa hanya 35 minit sahaja berbanding laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

Selain itu kata beliau, pembinaan Lebuhraya SPE turut menerapkan elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Tambahnya, komitmen projek pembinaan lebuh raya menerapkan elemen kelestarian terbukti apabila Lebuhraya SPE mendapat Anugerah Pencapaian Cemerlang bagi “Sustainable Infrastar” oleh pihak CIDB semasa Hari Penganugerahan Safety & Health, Environment and Quality atau SHEQ 2022.

“Pembinaan Lebuhraya SPE telah mengambil kira faktor alam sekitar dengan mengamalkan teknologi hijau dalam pembinaannya apabila solar panel telah dipasang di setiap plaza tol.

“Malah, penghadang bunyi telah dipasang bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling,” jelasnya.

Lebuhraya SPE adalah antara projek berimpak tinggi yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih berdaya maju.

Dalam pada itu beliau berkata, projek lebuh raya berkenaan telah menerima anugerah Malaysia Book of Records pada April 2021 bagi dua kategori iaitu jambatan konkrit terpanjang menggunakan rasuk prategang berbentuk T kepada Ekovest Berhad dan rasuk prategang berbentuk T terpanjang kepada Nehemiah Towoong Bridgetech Sdn Bhd.

Selain itu katanya, LDF3 juga telah menerima Anugerah Inovasi Teknologi Pembinaan Lebuh Raya semasa Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2021, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pada majlis itu, LDF3 turut menerima dua lagi anugerah bagi kategori Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction) dan Longest Elevated Land Bridge.

“Ini adalah satu lagi kejayaan bukan sahaja buat LDF3 malahan buat Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia. Syabas saya ucapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Alexander mengumumkan pemberian tol percuma selama 30 hari sehingga 2 Disember kepada orang ramai yang menggunakan lebuh raya tersebut dari Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang (dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur AKLEH menuju ke SPE) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah Selatan dan Utara).

Katanya, pengguna boleh mula menggunakan laluan berkenaan bermula hari ini pukul 11.59 malam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sudah terlalu banyak lebuhraya bertol dibina kerajaan, tetapi masalah kesesakkan tidak juga boleh dikurangkan. Kenapa kerajaan tidak mengambil langkah untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sampai ada yg berumur 20 tahun keatas, ditambah lagi dgn pengimportan kereta secondhand atau dikenali sebagai recond car. Adakah kerajaan lebih suka negara Malaysia dikenali sebagai pengimport dan penyimpan besi buruk. Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan sepatutnya melihat isu ini sebagai yg amat penting bukannya menyelesaikannya dgn cara mudah membina lebuhraya tetapi sebenarnya membazirkan wang rakyat.

Comments are closed.