Abdul Halim

JOHOR BAHRU – Langkah menghidupkan semula program Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) melibatkan individu berumur 18 hingga 35 tahun disifatkan sebagai tidak sesuai.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) seharusnya memberi tumpuan kepada belia berusia bermula 18 hingga 21 tahun seperti dipraktikkan di negara jiran termasuk Thailand dan Singapura.

Jelasnya, pelaksanaan program PLKN 3.0 membabitkan individu berumur 35 tahun dilihat langsung tidak sesuai malah dibimbangi membawa kesan negatif.

“Bukan membantah namun mereka harus melihat adakah pelaksanaan semula PLKN ini biarlah pelaksanaannya lebih baik, teratur, logik dan memenuhi keperluan dalam erti kata khidmat negara.

“Program PLKN sebelum ini pun sudah ada acuannya, cuma pada saya harus ditambah baik dan diperkemaskan lagi modul atau pendekatannya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Halim, belia lepasan sekolah adalah kumpulan paling ideal untuk diterapkan dengan modul-modul PLKN ini kerana faktor umur, kecergasan dan masih kurang komitmen atau tanggungjawab.

MINDEF dalam satu kenyataan hari ini berkata, hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani PLKN 3.0 apabila ia dilaksanakan pada tahun hadapan.

Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga berusia 35 tahun.

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, tidak munasabah belia berusia 25 sehingga 35 yang sudah terikat pelbagai komitmen dikerahkan meninggalkan segala tanggungjawab yang mereka perlu pikul.

Tambahnya, golongan bagi usia itu dilihat mempunyai pelbagai komitmen dan tanggungjawab yang mereka tanggung termasuk pengajian tinggi, pekerjaan selain keluarga yang perlu disara.

“Itu baru kita bercakap dari segi tanggungjawab sebagai pelajar di institut pengajian tinggi, pekerja, suami atau anak yang menanggung keluarga dan ibu bapa.

“Belum lagi menyentuh majikan yang terpaksa berdepan pula dengan kekurangan tenaga kerja bila staf-staf mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun ini dikerah masuk kem.

“Oleh itu, pelaksanaan PLKN 3.0 membabitkan belia berusia 25 hingga 35 tahun perlu dikaji semula berikutan ia akan membawa implikasi besar  kepada syarikat dan majikan terjejas selain produktiviti negara yang mungkin terganggu,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kementerian Pertahanan perjelas isu umur peserta PLKN 3.0

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast