nuklear
Kesan kemusnahan akibat serangan udara rejim Zionis Israel yang menyasarkan kawasan kediaman di Gaza, baru-baru ini. - Gambar: Euro-Med

GENEVA – Rejim Zionis Israel telah menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan atau bersamaan dengan dua butir bom nuklear ke atas Gaza sejak perang dimulakan 7 Oktober lalu.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med berkata, tentera rejim sebelum ini mengakui telah mengebom lebih 12,000 sasaran di Gaza dengan purata bom seberat lebih 10 kilogram bagi setiap individu.

Untuk rekod, berat dua bom atom yang digugurkan Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima dan Nagasaki pada Perang Dunia Kedua adalah bersamaan dengan kira-kira 15,000 tan bahan letupan.

“Hasil perkembangan teknologi terhadap kuasa bom, bahan letupan yang digugurkan di Gaza mungkin mempunyai kekuatan dua kali ganda bom nuklear.

“Ini bermakna kuasa kemusnahan bahan letupan yang digugurkan di Gaza mengatasi bom atom yang digugurkan di Hiroshima,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Badan berkenaan menambah, rejim Zionis Israel juga telah menggunakan senjata yang diharamkan terutamanya bom kluster dan bom fosforus.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med memberitahu, pasukannya mendapati kesan kecederaan yang dialami penduduk Gaza selepas serangan udara Israel adalah sama dengan yang disebabkan oleh bom kluster.

“Bom kluster yang bersaiz kecil namun mempunyai kuasa letupan yang tinggi boleh menyebarkan serpihan yang menembusi kulit dan meletup dalam tubuh mangsa.

“Ia menyebabkan mangsa melecur teruk dan seterusnya menjadikan kulitnya tertanggal sehingga boleh membawa maut,” jelasnya.

Menurut badan tersebut, kemusnahan besar-besaran di kawasan kediaman yang padat penduduk di Gaza juga membuktikan rejim Zionis Israel menggunakan bahan letupan berkuasa tinggi.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med menegaskan, keganasan yang dilakukan rejim Zionis Israel itu telah mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang menetapkan bahawa orang awam mesti dilindungi.

“Pembunuhan orang awam dianggap sebagai jenayah perang dalam mana-mana konflik bersenjata dan boleh ditafsir sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Tindakan keganasan rejim Zionis Israel di Gaza setakat ini telah menyebabkan 9,376 orang termasuk 3,912 kanak-kanak dan 2,213 wanita terkorban.

Sebanyak 47,100 bangunan dilaporkan musnah sepenuhnya dan 143,200 bangunan mengalami kerosakan dengan 2,176 mangsa ditemukan maut di bawah runtuhan. – MalaysiaGazette