KUALA LUMPUR – Dua wartawan Malaysia Gazette, Nurayuni Johari dan Muhammad Fauzi Khairol Anuar dipilih sebagai pemenang Anugerah Liputan PBT Terbaik pada majlis Anugerah Kecemerlangan Media Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023 (AkeMedia KPKT 2023), di sini, malam ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyampaikan anugerah itu kepada kedua-dua wartawan yang memenangi kategori penyiaran televisyen dan video dalam talian dengan tajuk video ‘Tandas Kotor’ itu di Hotel JW Marriot, di sini.

Selain daripada memenangi wang tunai sebanyak RM3,000 mereka membawa pulang trofi dan sijil.

Menurut Nurayuni, kemenangan itu memberi kenangan manis buat beliau dan keseluruhan warga kerja MalaysiaGazette kerana tugasan membuat liputan berkaitan tandas kotor sangat mencabar.

“Bukan senang hasilkan karya ini, apabila menang hari ini sememangya terkejut dan gembira. Saya dan Muhammad Fauzi (juruvideo MG) terpaksa masuk keluar tandas termasuk (tandas) yang sangat kotor, berbau dan lain-lain.

“Memang mencabar tetapi apabila karya MalaysiaGazette diberikan pengiktirafan seperti ini, rasanya semuanya berbaloi. Kami ucapkan terima kasih kepada semua terutamanya kepada Ketua Pengarang, Puan Noraini Razak dan yang lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis AkeMedia KPKT 2023.

Sementara itu, Muhammad Fauzi menyifatkan kemenangan ini adalah untuk semua warga MalaysiaGazette terutamanya bahagian video.

“Seperti yang Nurayuni dedahkan, memang banyak cabaran ketika diberikan tugasan ini, namun apabila diberikan peluang menghasilkan karya seperti ini oleh KPKT, kita secara tidak langsung sebenarnya memberikan pendedahan dan kesedaran kepada umum tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan tandas,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 10 kategori dipertandingkan dalam AkeMedia KPKT 2023 yang diadakan buat julung dengan 18 pemenang merangkumi platform media cetak, radio, televisyen, portal dan multimedia.

Sepuluh kategori itu ialah Anugerah Liputan Radio Terbaik, Anugerah Media Khas Liputan Multimedia, Anugerah Liputan Pengurusan Sisa Pepejal Terbaik, Anugerah Liputan Kredit Komuniti Terbaik, Anugerah Liputan Perumahan Terbaik, Anugerah Liputan Kemampanan Bandar dan Persekitaran Hijau Terbaik, Anugerah Liputan PBT Terbaik, Anugerah Liputan Wira Merah Terbaik dan Anugerah Khas Menteri.

Anugerah Khas Menteri yang merupakan pengiktirafan tertinggi dimenangi Sinar Harian dan Sin Chew Daily.

Setiap organisasi menerima RM10,000, sijil dan berkongsi trofi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast