Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai selepas Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan di Dataran Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen pembangkang diminta meneruskan lagi sesi rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Kedua, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung permohonan peruntukan untuk kawasan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan mengenai peruntukan itu perlu diperincikan bagi mencapai kata putus.

“Bincang dengan TPM, Datuk Seri Fadillah Yusuf,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas dakwaan pembangkang ada pelbagai syarat ditetapkan Anwar berkata; “Belum bincang.”

Semalam, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa pembangkang tidak akan meneruskan permohonan peruntukan Ahli Parlimen kerana mendakwa syarat yang diminta kerajaan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, sudah dua kali bertemu Fadillah berhubung perkara tersebut.

“Apa yang diminta daripada TPM2 ini ialah supaya pihak pembangkang menulis surat kepada mereka memberikan jaminan tertentu dan sebagainya,” katanya dalam sidang media semalam.

Takiyuddin berkata, kepemimpinan blok itu sudah berbincang dan bersetuju bahawa syarat yang dikenakan kepada mereka itu tidak sepatutnya berlaku.

Blok pembangkang mempersoalkan mengapa mereka perlu menghantar surat seolah-olah memohon dan perlu pula memberi aku janji tertentu. – MalaysiaGazette