KUALA LUMPUR – Dua remaja perempuan antara empat individu cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Janakuasa Kampung Tok Muda di Kapar, Klang Selangor hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan dari orang awam memaklumkan mengenai insiden itu pada jam lebih kurang 6.20 petang tadi.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar Klang telah digerakkan ke lokasi kejadian tersebut.
“Sejurus anggota tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Axia dan Proton Gen 2 dipercayai terlibat dalam perlanggaran dan terbabas di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.
Menurut beliau, siasatan lanjut anggota di lokasi nahas mendapati empat orang mangsa tercedera dalam kemalangan tersebut.
“Dua mangsa lelaki yang berada dalam Axia berusia 28 dan 52 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Manakala dua gadis remaja berusia 13 dan 16 tahun turut cedera ringan dalam insiden berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette