Guru, Muhammad Nazmi Rosli dari Sekolah Kebangsaan Sebangan Sarawak s dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Malaysia 2023 ketika di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – “Masa saya mulakan kerjaya saya di SK Long Sebangang, Sarawak sekitar tahun 2017, saya ingat lagi bagaimana kesemua pelajar saya ini langsung tidak kenal dunia luar, mereka tidak pernah nampak atau dapat bayangkan apa itu pantai, mesin ATM, lampu trafik, pusat beli belah mahupun kartun Upin Ipin,”.

Semuanya bermula selepas beliau meminta anak murid menulis esei menggunakan daya fikiran serta pengalaman masing-masing.

Anak-anak itu bukan sahaja tidak tahu berimaginasi malah daripada 27 orang murid, hanya dua sahaja dapat jawab soalan secara ringkas.

Itu antara kisah yang dikongsikan Cikgu Muhammad Nazmi dengan penuh emosi ketika diminta berucap di hadapan ribuan pendidik selepas namanya diumumkan sebagai pemenang anugerah Malaysia Teacher Prize 2023.

Kata Cikgu Nazmi, beliau tidak pernah menyangka perlu berdepan dengan situasi itu.

Namun, keadaan anak-anak itu sebenarnya membuat beliau tekad untuk mengubah nasib mereka.

Bermula dengan menyediakan sendiri latihan simulasi bilik darjah yang mana anak muridnya diperkenalkan dengan pengalaman kehidupan lazim seperti memasuki kedai dobi, menaiki kapal terbang, pantai, zoo negara, hospital, kolam renang dan sebagainya menggunakan kepingan kad manila serta botol plastik.

“Semasa itu anak-anak murid saya mula teruja dan memahami apa yang cuba saya sampaikan. Mereka dapat bayangkan.

“Pengalaman itu membantu mereka mengarang sehingga rata-rata mereka mendapat keputusan paling cemerlang pada UPSR pada tahun 2019,” ceritanya.

Cikgu Nazri berkata, beliau juga  telah mempelopori Kelab Filpen yang memberi ruang kepada anak murid untuk ekspresi diri dalam pembikinan filem.

Dan, hari ini, murid-murid yang sama telah berjaya menghasilkan dan memasarkan karya filem mereka ke luar negara misalnya filem pendek berjudul ‘Teether’ yang telah diterima ke Festival Filem Horror Unleashed di Portugal.

“Anak-anak murid ini adalah mereka yang sama ketika pada awalnya saya masuk mengajar dan mereka tidak tahu apakah rupa pantai atau piknik bersama keluarga.

“Sebenarnya warga pendidik seperti saya, jika kita mempunyai jati diri tinggi dalam memartabatkan anak-anak murid, pastinya kita akan berjaya walaupun seribu satu cabaran kita hadapi,” katanya penuh emosi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama pemenang ketika di Majlis Penganugerahan Hadiah Guru Malaysia 2023 Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2023.

Kata-kata itu juga menyebabkan kesemua yang berada dalam dewan termasuklah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bangun memberikan ‘standing ovation’ kepada Muhammad Nazmi.

Dalam pada itu, Muhammad Nazmi juga begitu teruja untuk menggunakan wang hasil kemenangan beliau sebanyak RM50,000 itu untuk membuka studio pembikinan filem dilengkapi sistem rakaman serta peralatan lain-lain.

“Studio ini terbuka untuk kegunaan umum di daerah perkhidmatan saya dan boleh digunakan untuk mengadakan sesi rakaman, pertandingan atas talian, kemasukan universiti, pemasaran perniagaan dan banyak lagi kegunannya nanti.

“Kemenangan Malaysia Teacher Prize ini adalah pengalaman yang cukup bertawaduk bagi saya, terima kasih kepada semuanya termasuklah Pemimpin GSL sebagai penganjur serta semua yang menyokong, dari keluarga sehinggalah anak murid saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Nazmi juga akan mencuba nasib bertanding dalam Global Teacher Prize Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Selain daripada Muhammad Nazmi, empat lagi terpilih menjadi finalis teratas termasuk Cikgu Kathiresan Moorthy yang mengajar Pendidikan Jasmani di SK Mahmud Pahang, Cikgu Stefanus Lucas yang mengajar Pendidikan Khas di SK Tuaran, Sabah, Cikgu Ahmad Shahrul Azhan mengajar Bahasa Inggeris dari SMK Long Ghafar 2, Kelantan dan Cikgu Jumisara Chamli yang mengajar Pendidikan Islam di SK Bandar, Johor.

Kesemua mereka mendapat hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil.

Untuk makluman Malaysia Teacher Prize bagi tahun 2023 mendapat penyertaan sebanyak 2,135 permohonan seluruh negara sebelum ianya disenarai pendek. – MalaysiaGazette