HARI ini genap 30 hari Israel melakukan serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin di wilayah Gaza.
Hampir 10,000 telah mati dan lebih 22,000 cedera dalam serangan Israel ke atas wilayah yang hanya berkeluasan separuh daripada negeri Perlis.
Bom dan peluru berpandu yang disasarkan ke arah wilayah itu telah memusnahkan dan merosakkan sistem perkhidmatan kesihatan. Ia menghancurkan harapan mereka yang cedera untuk sembuh dan mungkin mematahkan semangat mereka yang hidup.
Kezaliman yang dilakukan Israel di Gaza.Regim Zionis memaksa lebih 1 juta rakyat di sebelah utara untuk ‘berpindah’ ke selatan Gaza. Belum tiba di selatan mereka dibom dan ada yang mati.
Ada yang sampai ke selatan tetapi mereka masih tidak selamat. Peluru dan bom Israel tetap mengekori ke mana-mana mereka pergi.
Hospital dibom, rumah penduduk awam dibom, sekolah dibom, kem pelarian dibom, rumah ibadat dibom, universiti dibom. Tidak ada apa-apa yang selamat daripada kekejaman Israel.
Biar pun episod kekejaman Israel telah berlarutan melebihi empat minggu namun rakyat Palestin masih teguh berjuang mempertahankan tanah air nenek moyang mereka dengan darah dan nyawa.
Bom dan peluru Israel tidak melunturkan semangat mereka untuk mendapatkan keadilan.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, suara masyarakat Malaysia dan dunia sangat-sangat diperlukan oleh rakyat Palestin pada ketika ini.
Beliau kagum rakyat Malaysia tidak berputus-asa untuk membantu rakyat Palestin dengan cara yang termampu iaitu melalui derma dan bersuara.
“Saya lihat semangat umat Islam di Malaysia cukup tinggi semangat untuk membantu. Kita tengok sahaja berita yang terbaharu ini hampir RM10 juta pelajar sekolah membuat kutipan derma. Semangat tinggi.
“Kita ada pendekatan mana yang boleh (dilakukan) macam kerajaan hantar bantuan kemanusiaan itu antara cara. Kita nak pergi lawan bersenjata tentulah tak mampu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mohamad Shukri berkata, semua pihak perlu memahami bahawa apa yang berlaku di Palestin bukan isu agama kerana kekejaman yang dilakukan Israel bukan sahaja ke atas umat Islam tetapi juga terhadap golongan Kristian.
Justeru katanya, semua pihak tidak boleh berputus asa untuk mendapatkan keadilan sekali gus menghentikan kekejaman Israel.
“Isu ini seperti Perdana Menteri sebut bahawa bukan isu Islam sahaja tetapi juga isu kemanusiaan. Orang yang kena bom itu termasuk umat Kristian. Kita mengharapkan dunia memahami bahawa ini adalah isu kemanusiaan.
“Cuma kita tahu dibelakang Israel itu siapa. Negara-negara Arab tidak boleh membantu secara terbuka ialah kerana di belakang Israel itu siapa dia.
“Ini ujian yang menimpa rakyat Palestin, sama seperti rakyat Ukraine yang berhadapan serangan Rusia, dunia akan merasai sama,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, semua pihak perlu terus bersuara dalam menghentikan keganasan Israel di Gaza dan beliau mengharapkan ada sesuatu yang akan dilakukan di peringkat antarabangsa.
Malaysia Gazette turut tampil sama-sama berjuang untuk rakyat Palestin. Portal berita ini akan mengajurkan forum bertajuk “Suara Malaysia Untuk Palestin” pada 8 November di Datum Jelatek Shopping Centre.
Forum membariskan empat panelis iaitu penerima Anugerah Perdana Mulidur Rasul 2022 Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir, Ketua Pengawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Nadir Al-Nuri, Penasihat Mercy Malaysia Norazam Ab Samah dan aktivis kemanusiaan Tai Zee Kin.
“Suara Malaysia Untuk Palestin” akan berlangsung pada pukul 8.30 malam dan dikendalikan oleh Haslina AR Kamarudin.
Orang ramai dijemput untuk hadir dan bersama-sama menyaksikan forum yang bakal membuka mata mengenai penderitaan yang dilalui rakyat Palestin.
Ada yang tidak mahu menonton video dan foto mangsa kekejaman Israel yang dikongsi di media sosial mahupun menerusi WhatsApp atau Telegram. Tidak sanggup kata mereka.
Mungkin ada beranggapan dengan tidak melihat, mendengar atau membaca kisah-kisah tragis yang berlaku di Gaza kejadian kejam yang dilakukan Israel tidak berlaku. Hakikatnya tidak. Nilai kemanusiaan hampir musnah di Gaza.
Menutup mata, memekakkan telinga dan berputus asa untuk membantu perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan keadilan dan membiarkan Israel terus bermaharajalela bukanlah satu perbuatan terpuji seorang manusia.-MalaysiaGazette