Lelaki warga tempatan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terlibat dalam satu kejadian kemalangan jalan raya awal pagi di Persiaran Mahkota Cheras1, Bandar Mahkota Cheras awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai nahas tersebut pada jam lebih kurang 3.34 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah telah bergegas ke lokasi nahas bertindak atas panggilan tersebut.

“Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar sebatang pokok.

Lelaki warga tempatan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati seorang mangsa lelaki tempatan berumur 30an ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah beliau, mangsa telah dikeluarkan dari kereta remuk teruk itu sebelum pasukan Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi nahas telah memeriksa dan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut menghantar ke hospital berhampiran bagi menjalani proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa,” tegasnya. -MalaysiaGazette