Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir pada majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali di Dewan Yayasan Bena Nusa, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 05 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan projek pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru, yang tertangguh sejak enam tahun lalu tidak lagi ditunda lagi.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) bulan lalu.

“PMO sebelum ini sudah memberikan penangguhan sehingga 31 Oktober. Sekarang Oktober dah habis, masuk November, no more extension (tiada lagi penangguhan), pemaju kena selesaikan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana beliau bersetuju bahawa tidak ada lagi extension,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri, di sini, hari ini.

Sebelum ini, penduduk di Kampung Sungai Baru mendesak kerajaan agar projek pembangunan semula di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan.

Desakan itu selepas projek pembangunan tersebut sudah empat tahun tertangguh sekali gus menjejaskan penduduk di kawasan berkenaan.

Malah, dalam satu surat yang ditujukan kepada perdana menteri bertarikh 17 Januari lalu, penduduk bertegas mahukan keadilan yang saksama dalam tuntutan tersebut serta berharap suara majoriti penduduk didengari dan mendapat perhatian serta tindakan diambil dengan segera.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pembangunan di kawasan itu tergendala selepas terdapat lima peratus pemilik pangsapuri belum berpindah.

Hanya 95 peratus sudah berpindah dan menunggu rumah baharu daripada pemaju.

Difahamkan, lima peratus pemilik yang tidak bersetuju itu kini sedang menyelesaikan isu berhubung pampasan di mahkamah.

“Sekarang ni isu dia ialah pemaju telah salah dalam membangunkan semula projek ini. Dia suruh semua orang pindah walaupun dia tidak dapat kelulusan 100 peratus.

“Pemaju sepatutnya tunggu dulu tapi dia dah pindahkan orang pada ketika itu. Kalau boleh kita nak pemaju ini siapkan segera projek ini”.

“Kalau pergi tempat tu sekarang ni dia dah jadi sarang penagih dadah, kemudian dia banyak tikus, wayar, besi itu sebab saya cakap kita kena ada pemaju yang mempunyai sikap tanggungjawab”, ujarnya.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru.

Proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Kemelut projek ini berlarutan apabila ada penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan pemaju. – MalaysiaGazette