KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berjaya mengumpul RM691,897 bagi membayar saman fitnah kepada pendakwah bebas Dr. Zakir Naik.
Ramasamy yang juga bekas pemimpin tertinggi DAP melancarkan kutipan awam tiga hari lalu selepas mahkamah mengarahkan beliau membayar RM1.52 juta Zakir dalam masa 30 hari.
Beliau selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM200,000 untuk setiap penyata fitnah (jumlah RM1 juta), ganti rugi teladan RM50,000 setiap satu penyata (RM250,000), ganti rugi teruk RM20,000 setiap penyata (RM100,000) dengan kos sebanyak RM70,000 kepada Zakir.
Kelmarin pendakwah dari India itu mengumumkan wang diperolehnya hasil kemenangan dalam kes saman fitnah terhadap Ramasamy akan disumbangkan kepada Palestin.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Malaysia kerana mengarahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta sebagai ganti rugi fitnah.
“Saya ingin menderma jumlah penuh, iaitu RM1.52 juta kepada Palestin. Saya berdoa agar Allah SWT menerima usaha kecil ini,” kata Zakir dalam hantaran berkenaan.
Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.
Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi sebagaimana yang didakwanya pelarian dari India.
Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran kerajaan Kelantan, diterbitkan portal berita pada hari sama.
Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.
Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019.-MalaysiaGazette