Gambar hiasan

Oleh: Prof. Madya Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes

BARU-baru ini, negara kita baru sahaja melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaganya ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang zero karbon menjelang tahun 2050. Dokumen awam setebal 70 muka surat ini turut menggariskan keperluan usaha besar negara untuk mengorak langkah memacu mobiliti hijau dengan fokus utama peralihan kepada armada kenderaan elektrik terutamanya buat kenderaan darat ringan.

Ini sudah pastilah dilihat wajar memandangkan pengangkutan darat di Malaysia adalah antara sumber utama pelepasan karbon mececah 55 juta metrik tan karbon dioksida setara, iaitu 85 peratus daripada pelepasan karbon sektor pengangkutan. Ia juga adalah strategi awal yang lebih mudah berbanding melihat kepada kenderaan darat berat, penerbangan dan maritim.

Sungguhpun kenderaan elektrik dilihat sebagai penawar mujarab buat masa ini untuk mengurangkan pelepasan karbon di sektor kenderaan darat ringan, beberapa persoalan pokok haruslah dijelaskan kepada bakal pengguna bagi memastikan ianya benar-benar membawa manfaat dan bukan sekadar gembar-gembur yang boleh diibaratkan seperti “Kedengaran guruh di langit, air di tempayan sudah dicurahkan”.

Persoalan utama sudah pastilah berkisar kepada sama ada kenderaan elektrik benar-benar memenuhi tanggapan kita semua sebagai kenderaan hijau? Menurut kajian kitaran hayat karbon terkini oleh Universiti Florence di Itali, penentuan sama ada kenderaan elektrik adalah mesra alam atau tidak jika dibandingkan dengan kenderaan konvensional boleh dibahagikan kepada peringkat pengeluaran dan peringkat penggunaan.

Jika dilihat kesan alam sekitar dari sudut pengeluaran, kenderaan elektrik buat masa ini menghasilkan dua kali ganda pelepasan karbon dioksida berbanding dengan kenderaan konvensional. Ini adalah kerana penghasilan sel bateri untuk kenderaan elektrik adalah bergantung kepada pelombongan bahan mineral lithium yang penuh dengan kontroversi. Untuk makluman pembaca, lithium kini secara aktif dilombong secara besar-besaran di seluruh dunia terutamanya di Amerika Selatan di sebuah kawasan yang dikenali sebagai “Segitiga Lithium”, merangkumi negara Chile, Bolivia dan Argentina. Kawasan dataran garam yang luas ini adalah sumber rizab lebih daripada 75% bekalan lithium dunia dan merupakan kawasan yang terkering di dunia.

Ini memberikan cabaran kepada perlombongan lithium kerana keperluan air untuk dipam ke dataran tinggi untuk pelombongan yang efisien seperti yang dihadapi pelombong di daerah Salar de Ayuni. Penghasilan bateri untuk kenderaan eletkrik juga turut memerlukan logam mineral kobalt dan nikel. Di kawasan-kawasan perlombongan seperti inilah yang terdapat di seluruh dunia, pelbagai isu pencemaran air dan masalah sosio-ekonomi yang melibatkan komuniti setempat seperti keadilan sosial dan penggunaan buruh kanak-kanak terus menghantui fenomena kenderaan elektrik yang dikatakan armada pengangkutan yang lestari.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya di peringkat penggunaan, pelepasan karbon dioksida oleh kenderaan elektrik adalah ternyata lebih rendah daripada kenderaan konvensional berenjin pembakaran dalam. Menurut kajian yang secara purata mengambil 9 tahun sebagai tempoh hayat sesebuah kenderaan, kenderaan konvensional melepaskan sehingga tiga kali ganda karbon dioksida berbanding kenderaan elektrik. Ini sudah dikaji dengan mengambil kira yang kenderaan elektrik tersebut dicas dengan elektrik yang dihasilkan oleh 70% tenaga fosil, sebagaimana corak penghasilan tenaga elektrik di kebanyakan negara-negara di dunia. Ini belum lagi mengambil kira pelepasan bahan pencemar seperti sulfur dioksida dan nitrus oksida oleh kenderaan konvensional.

Yang menariknya, jumlah pelepasan karbon oleh kenderaan elektrik turut mengambil kira di mana kenderaan tersebut digunakan. Sebagai contoh, jika sebuah kenderaan elektrik dipandu dan dicas di Vermont, Amerika Syarikat yang menjana majoriti elektriknya daripada sumber tenaga boleh Baharu solar, angin dan biojisim yang bersih, sudah pastilah ianya lebih “hijau” daripada sebuah kenderaan elektrik yang dipandu di India atau di Kuala Lumpur.

Demi sebuah kemajuan dan revolusi hijau yang dijanjikan, pihak berkuasa dan pemegang taruh yang terlibat seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pengeluar kenderaan elektrik dan pihak berkuasa tempatan haruslah turut memberikan perhatian kepada cabaran-cabaran lain yang turut datang bersama fenomena kenderaan elektrik. Antaranya ialah cabaran keselamatan siber perisian bagi mengelakkan maklumat lokasi pengguna kenderaan elektrik ataupun kawalan kenderaan dimanipulasikan, kestabilan grid, ekosistem kitar semula bateri kenderaan elektrik, akses dan piawaian pusat pengecasan yang sah, kadar bayaran pusat pengecasan serta subsidi rakyat untuk kenderaan elektrik yang haruslah diperhatikan.

Secara keseluruhannya, sekiranya ekosistem kenderaan elektrik mendapat sokongan yang mampan, ia dapat menjanjikan kelestarian Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga negara lebih-lebih lagi jika peluang ekonomi dalam sektor kitar semula bateri yang meliputi pengasingan komponen plastik, logam bernilai serta “jisim hitam” campuran lithium, kobalt dan nikel dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan hijau untuk rakyat.

Penulis merupakan Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar,
Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya