Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

KUALA KANGSAR – Kerajaan Perak menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksanaan mengangkat kemuliaan serta kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Al-Sultan Abdullah telah membuktikan bahawa Raja Pemerintah bukan simbol perpaduan yang abstrak tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat yang hidup, antara rakyat, negara serta takhta.

Titah baginda lagi, ia dapat dilihat semasa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke program ‘Kembara Kenali Borneo’ di Sabah dan Sarawak pada 3 hingga 13 September lalu.

“Rakyat daripada pelbagai lapisan hidup berpanas-berhujan, membuktikan rasa kasih dan taat setia, menyambut keberangkatan baginda. Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia.

“Sifat baginda berdua menyantuni rakyat, bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah memperkukuhkan hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja,” titah Sultan Perak,

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah, dekat sini, pada Ahad.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Titah Sultan Perak lagi, akan tercatat dalam sejarah Al-Sultan Abdullah dalam menghadapi cabaran-cabaran berat sepanjang tempoh baginda bersemayam khususnya melibatkan soal pelantikan tiga perdana menteri serta situasi dunia dilanda wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari tahun hadapan diyakini berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

“Pendirian tegas dan konsisten baginda mengenai rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, serta pendirian baginda yang menolak amalan perkauman dan mementingkan amalan toleransi antara kaum dan kebebasan agama lain, pastinya memberikan jaminan dan keselesaan, bahawa rakyat pelbagai kaum dan agama akan diberikan perlindungan serta layanan secara adil,” titah baginda lagi.

Media sebelum ini melaporkan Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024 selepas memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun.

Baginda sebelum ini menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2024. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast