Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (2), Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 06 NOVEMBER 2023.

PETALING JAYA – Pelajar sekolah yang menyertai demonstarasi secara maya untuk memberi sokongan terhadap penduduk Palestin yang berhadapan kekejaman Israel supaya menjaga akhlak.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, walaupun ‘tunjuk perasaan’ itu dilakukan secara dalam talian namun kata-kata dan tindakan yang mencetuskan kebencian harus dielakkan sama sekali.

Menurutnya, adalah penting untuk meneruskan solidarati terhadap penduduk Palestin yang kini berhadapan serangan daripada Israel.

“Yang penting mesej keamanan sampai. Jangan buat apa-apa yang berbentuk kebencian. Jaga akhlak walaupun dalam talian, teruskan solidariti untuk Palestin,” katanya ringkas kepada media.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Taman Datuk Harun 2 di sini hari ini.

Fadhlina ditanya mengenai sebilangan murid darjah 1 hingga 6 yang melakukan tunjuk perasaan dalam permainan video Roblox untuk memberi sokongan moral kepada penduduk Palestin yang kini berhadapan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Tindakan ratusan kanak-kanak dan remaja Malaysia itu menjadi perhatian dunia apabila melakukan protes pro-Palestin secara maya.

Menerusi video ulasan beberapa pempengaruh media sosial, Malaysia berjaya menyampaikan mesej kemanusiaan kepada penduduk dunia sehingga ia tular dan menjadi topik perbincangan di alam maya.

Menurutnya, golongan muda di Malaysia mempunyai idea yang luar biasa dan mampu memberi inspirasi kepada masyarakat dunia.

Pada 25 Oktober lalu, pelajar, Razz, 15, berjaya menggunakan pendekatan kreatif untuk membangunkan pelayan (server) permainan video dalam talian yang diberi nama Dataran Mas menerusi platform Roblox.

Permainan tersebut turut dipromosi oleh pencipta kandungan, Cikgu Zyd, 32, bersama rakan-rakannya sebagai menyokong solidariti dalam talian tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, orang ramai berpendapat kreativiti pelajar tersebut telah membuka mata ramai pihak untuk lebih mengambil berat berkenaan krisis peperangan di Palestin.-MalaysiaGazette