Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad bersama Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nasrullah Mohd Nasir meninjau longkang yang selalu menjadi tempat untuk membuang sampah semasa tinjauaan Isu pembuangan sampah di Pasar Borong Selayang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 06 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang berbincang untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah ke dalam sungai.

Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu dibuat bagi menimbulkan rasa gerun terhadap sesiapa yang cuba melakukan perkara tersebut.

“Isu hukuman denda itu penting…yang kedua penguatkuasaanlah yang kita sedang tengok bagaimana tentang penguatkuasaan supaya ada orang akan merasa gerun sedikitlah untuk membuang sampah di kawasan-kawasan sungai dan sebagainya.

“Setinggi mungkinlah (denda) yang itu kita akan bincang soal untuk meningkatkan denda. Ada beberapa akta kita sedang dalam proses pinda denda tersebut sama ada denda penjara atau wang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan kerja pengurusan sampah di Pasar Borong Selayang, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi lawatan itu Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, menurut data, sejumlah RM8.2 juta telah dibelanjakan oleh dua buah negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor bagi tujuan penyelenggaraan sampah di dalam sungai di antara Januari dan September tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM166,320 telah dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sampah di struktur log boom di Kolam Takungan Banjir Jinjang dan RM150,000 setahun untuk penyelenggaraan sampah Anak Sungai Udang.

Jelasnya, kos penyenggaraan itu dapat dikurangkan sekiranya isu pembuangan sampah dapat diatasi bersama bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar dan risiko berlakunya banjir.

Katanya lagi, dalam usaha memastikan aliran air sungai berjalan lancar dan mengurangkan risiko banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan melalui Pejabat Lembangan Sungai Klang (PLSK) dan JPS Daerah Gombak telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan membersihkan sampah yang tersangkut di struktur-struktur perangkap sampah seperti Gross Pollutant Trap (GPT), Log Boom dan Trash Rake.

“Kekerapan kutipan adalah sekali seminggu atau lebih, bergantung kepada keperluan di kedua-dua sungai tersebut.

“Kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian sungai terpelihara kerana kedua-dua sungai ini melalui kawasan kediaman yang agak padat, seterusnya menyumbang kepada faktor peningkatan jumlah sampah di struktur perangkap sampah tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan rekod kerja penyelenggaraan yang telah dilaksanakan, jumlah kutipan sampah di sekitar Kolam Takungan Banjir Jinjang pada tahun 2021 adalah sebanyak 60 tan, manakala, 59 tan telah direkodkan pada tahun 2022 dan 36 tan bagi 2023 sehingga September. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Setuju tapi settle kqn dulu la mqsalah pencemaran air oleh tauke kilang. Sampah fizikal mudah nak rawat tp buangan efluen kilang, itu yg lebih bahaya dan kos mahal. Lepas tu nk hukum rakyat marhaen ni, hukum la. Takda sapa nak argue.

Comments are closed.