Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia belum memutuskan sama ada akan menyertai sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bermula 11 November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian kerajaan itu akan dibuat dalam masa terdekat

Jelas beliau, ini kerana kebanyakan negara besar dunia akan menghadiri sidang yang akan berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat itu.

“Tidak (boikot), kebanyakan negara akan menghadiri sidang itu dan akan dibuat (keputusan sertai) dalam satu dua hari ini,” katanya selepas melancarkan Ekspo Malaysia Digital di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China bagi mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot kehadiran pada sidang APEC atau tidak.

Anwar berkata, selepas memperoleh semua maklumat, barulah Malaysia akan membuat keputusan, seiring dengan keputusan negara Asia lain.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC nanti sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Sebelum itu, Anwar dilaporkan akan mengetuai delegasi Malaysia ke APEC yang berlangsung selama seminggu.

Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar, turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS Joe Biden itu. – MalaysiaGazette