KUALA LUMPUR – Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang- PN) menyuarakan ketidakpuasan hatinya apabila mendakwa soalannya sama ada pencapaian sasaran tanaman di sejuta hektar jelapang padi mampu dicapai dalam waktu terdekat.
Dalam masa yang sama, beliau juga menyifatkan pengumuman kerajaan untuk menanam padi di 50,000 hektar sawah di Sabah dan Sarawak sebagai tidak mencukupi.
“Ini dilihat terlalu kecil seperti tiada kesungguhan daripada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan demi memastikan dicapai dalam waktu terdekat.
“Malah jawapan timbalan menteri hanya menyasarkan 75 peratus pada 2025 Kadar sara diri (SSR) beras dan 80 peratus pada 2030. Persoalannya bolehkah kita tunggu sehingga enam tahun lagi, hanya nak capai 80 peratus SSR?
“Bagaimana sekiranya berlaku bencana atau penyakit sehingga menyebabkan rancangan ini gagal?” soal beliau ketika sidang media di Parlimen hari ini.
Kata Zulkafperi, soalan tambahannya mengenai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk membantu pesawah menanggung kos input penanaman padi tidak dijawab oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Ujar beliau, ia menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak berminat menyelesaikan krisis beras putih dalam waktu yang terdekat.
“Persoalannya adakah kualiti menteri kerajaan ini tidak mampu menjawab soalan-soalan rakyat yang menyentuh soal yang amat penting iaitu makanan ruji rakyat?” soalnya lagi.
Terdahulu, Zulkafperi berpendirian jumlah keluasan jelapang padi dalam negara setakat ini terlalu kecil iaitu kurang 500,000 hektar berbanding negara lain.
Sebagai rekod,Foong Hin ketika menjawab soalan Zulkafperi di dalam Dewan Rakyat berkata, sasaran pengeluaran padi sebanyak 80 peratus menjelang tahun 2030 menerusi inisiatif SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) boleh dicapai tanpa perlu menambah saiz jelapang padi kepada satu juta hektar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras negara sebanyak 75 peratus menjelang 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030 ketika ini adalah realistik.- MalaysiaGazette