MYAirline
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – MYAirline menafikan laporan media yang lesen penerbangannya telah dibatalkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu, lesennya hanya digantung dan tindakan itu bertujuan untuk menjaga kepentingan organisasinya.

MYAirline menjelaskan, ia adalah selaras dengan rekod prestasinya dalam mengekalkan persekitaran operasi yang kukuh terutamanya dari segi teknikal, keselamatan dan operasi.

“Tindakan penggantungan itu memerlukan MYAirline membuktikan keupayaannya untuk beroperasi secara bebas dan mencapai keupayaan kewangan yang diperlukan untuk mendapatkan semula pensijilan penuh dan penarikan penggantungan lesennya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 November lalu, Mavcom memaklumkan, lesen MYAirline digantung serta-merta mengikut Seksyen 43 (1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] selepas mendapati jawapan syarikat penerbangan terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan bulan lalu sebagai tidak memuaskan.

Surat tunjuk sebab itu meminta MYAirline memberikan pernyataan bertulis dalam masa 14 hari atas kegagalannya mematuhi syarat lesen perkhidmatan udara (ASL) dan penggantungan mengejut operasinya pada 12 Oktober lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, MYAirline menafikan laporan media  ia telah memulangkan kesemua 10 pesawat yang dikendalikannya sebelum ini kepada pemberi pajak.

Katanya, hanya enam pesawat yang telah dibatalkan pendaftaran oleh pemberi pajak dan tindakan itu adalah konsisten dengan amalan standard industri yang bertujuan melindungi aset-aset pemberi pajak.

“Pada masa ini, empat pesawat masih didaftarkan dan diuruskan oleh pemberi pajak sejak 13 Oktober lalu dengan dibantu Organisasi Pengurusan Berterusan Layak Terbang (CAMO) MYAirline,” jelasnya.

Syarikat berkenaan menambah, pihaknya sentiasa berbincang dengan pemberi pajak dan berhasrat ingin terus memajak pesawat-pesawat terbabit sebaik sahaja proses mendapatkan dana selesai. – MalaysiaGazette