KUALA LUMPUR – Penerbit drama, Michael Ang berharap orang ramai tidak menghina pekerja restoran makanan segera kelainan upaya (OKU) yang bekerja dalam sektor perusahaan atau perkhidmatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
Jelasnya, masyarakat bebas membuat pilihan untuk memboikot mana-mana jenama dalam usaha menunjukkan solidariti terhadap Palestin.
Namun ujar Michael jangan sampai merendah-rendahkan individu yang mencari rezeki di tempat tersebut.
“Hantaran ini bukan provokasi atau suruh anda semua jangan boikot, tetapi untuk anda semua fikir-fikirkan sebelum hina pekerja dekat semua tempat yang anda semua nak boikot,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran sama, pengarah drama One Million Dollar Voice itu turut berkongsi semula video seorang kakitangan OKU sebuah restoran popular yang meluahkan situasinya akibat premis tempatnya bekerja diboikot.
“Tak nak beli tak mengapa tapi jangan lemparkan kata-kata kesat dan macam orang tak beragama. Semua melawan menentang zionis tapi janganlah kita yang jadi zionis terhadap orang kita sendiri,” ulasnya lagi.
Pendapat pemilik syarikat produksi Cube Film Sdn. Bhd. itu menerima pelbagai reaksi pengikut yang rata-rata cuba membidas kenyataannya, namun dibalas Michael bagi mengelak salah faham.
“Posting ni tak cakap pun jangan boikot. Celah Bedah mana aku persoalkan kamu semua nak boikot apa pun. Cuma minta orang jangan keluarkan kata-kata kesat,” ujarnya.
Ketika ini, lebih 9,000 orang awam Palestin terbunuh dalam pencerobohan Israel sejak perang tercetus 7 Oktober lalu, seramai 32,000 mangsa lain cedera dan 2,000 orang lagi masih hilang. – MalaysiaGazette