KUALA LUMPUR – Sesi petang Dewan Rakyat sedikit tegang apabila dua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertikam lidah.
Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutung) berulang kali mengatakan perkataan ‘biadab’.
Situasi tegang itu tercetus apabila Shahidan membangkitkan isu konflik Palestin dengan memetik nama Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan).
Ia menyebabkan Rayer dan seorang lagi Ahli Parlimen penyokong kerajaan, Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) bangkit, mempersoalkan mengapa perkara sama diulang Shahidan.
“Yang Berhormat, orang yang dah mati sekarang lebih 10,000. Anak-anak lebih 4,000, dekat 5,000 anak-anak yang mati.
“Mari kita menyokong PMX (Perdana Menteri kesepuluh). Jangan buat kerja yang dibuat oleh 12 orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sampai hari ini tidak minta maaf termasuk (Ahli Parlimen) Teluk Intan.
“Masih ada dalam Instagram dia, menuduh bahawa apa yang telah dibuat sekolah adalah perbuatan..,” katanya.
Rayer kemudian mencelah mengadu kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau bahawa kenyataan itu adalah sesuatu yang biadap.
“Timbalan Speaker, tak perlu diungkit perkara sama. Kelmarin telah dihalau keluar. Jangan biadab!,” kata Rayer.
“Apa hal nak ulang-ulang. Petua sudah dibuat,” balas Howard Lee.
“Jangan biadab Yang Berhormat,” kata Rayer lagi.
Shahidan yang mendengar kenyataan itu membalas bahawa perkara yang diungkapkan oleh Howard dan Rayer juga boleh dikategorikan sebagai biadap.
“(Peraturan mesyuarat) 36(6). Perkataan biadab,” celah Shahidan.
“Apa salahnya? Dalam peraturan mesyuarat ada perkataan biadab,” kata Rayer.
“Boleh? Kalau boleh, biadab Jelutong. Awak biadab,” kata Shahidan.
“Kamu yang biadab,” balas Rayer.
Alice kemudiannya meleraikan pertikaman lidah berkenaan dengan menutup mikrofon mereka dan meneruskan perbahasan. – MalaysiaGazette