KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad teruk diganggu beberapa ahli Parlimen blok kerajaan dalam perbahasan di peringkat dasar Kementerian Perpaduan pada Rang Undang-undang Perbekalan 2024, hari ini.
Bingkas bangun adalah Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang mahu mencelah mengenai dakwaan Siti Mastura bahawa Lim Guan Eng (PH-Bagan) mempunyai hubungan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
“Kepala Batas, Bukit Bendera mohon mencelah,” katanya.
Siti Mastura bagaimanapun tidak mengendahkan permohonan tersebut.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian bertanyakan sama ada Siti Mastura mahu memberikan laluan, beliau menggelengkan kepalanya.
“Dia (Siti Mastura) tidak bagi,” kata Johari.
Turut bangun adalah Teresa Kok (PH- Seputeh).
“Kami nak bertanyakan mengenai fitnah yang dilemparkan kepada DAP dan saya,” katanya.
“Lebih baik Kepala Batas berikan ruang, ini sudah fitnah kepada Ahli Parlimen,” kata Wong Shu Qi (PH-Kluang).
Tidak berani jawab ke Kepala Batas,” jerit Shu Qi.
Membalas perkara tersebut, Siti Mastura melemparkan serangkap pantun.
“Pergi kedai beli lidi,
Kelulusan PhD bukan dibeli,
Kera lompat atas pokok,
Masuk Dewan jangan provok.
Tidak puas hati dengan perkara tersebut, Syahredzan Johan (PH-Bangi) meminta agar Siti Mastura tidak berbohong dan fitnah.
“Dekat luar jangan fitnah, baca poster fitnah ulang balik dalam Dewan, biar kita bawa usul, malu orang muda bawa politik lama,” kata Syahredzan.
“Kepala Batas tidak belajar ke sumber maklumat dari mana, jawablah disini,” kata Shu Qi.
Berusaha untuk meleraikan pertikaman tersebut, Johari bertindak mengarahkan semua Ahli Parlimen untuk meneruskan tindakan provokasi mereka terhadap Siti Mastura.
“Saya bagi peluang siapa nak bercakap bangun. Saya bagi ruang sekarang untuk bercakap, saya tidak akan hentikan,” tegas Johari.
Sidang diteruskan dengan perbahasan Rodziah Ismail (PH-Ampang). – MalaysiaGazette