Rahmad ketika berucap pada Majlis Penutup Dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1445H Peringkat Negeri Melaka di pentas utama Karnival Semarak Cinta Rasul, Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka hari ini.

MELAKA – Wujud kekeliruan dalam memahami kaedah pelaksanaan pelantikan jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini yang didakwa ditentukan pemimpin bukan Islam.

Exco pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia tidak seharusnya menjadi polemik dan mangsa politik.

“Urusan umat Islam adalah hak mereka dan orang bukan Islam tidak boleh masuk campur urusan itu.

“Begitu juga kami tak ikut campur urusan agama lain dan sebagai orang Islam saya juga takkan benarkan sama sekali perkara ini berlaku. Ini sangat jelas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan pembangkang Melaka yang mempersoalkan keputusan kerajaan negeri membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam mencadangkan pelantikan jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini bagi sesi 2024- 2026.

Ketuanya Dr. Yadzil Yaakub dilaporkan berkata, tindakan itu jelas merupakan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran masjid dan surau yang tidak seharusnya berlaku.

“Mengapa dalam urusan pentadbiran rumah Allah, mereka yang bukan Islam dilibatkan dan pernahkah kita dengar orang Islam dirujuk terlebih dahulu dalam penentuan jawatankuasa rumah ibadah agama lain?

“Kenapa bila berkaitan masjid dan surau kita izinkan agama lain mengatur apa yang ekslusif kepada umat Islam?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Bemban berkata demikian mengulas kewajaran makluman itu yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui pekeliling bertarikh 25 Oktober.

Surat itu memaklumkan ADUN kawasan bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam.

Bagaimanapun bagi kawasan ADUN pembangkang iaitu DUN Bemban dan DUN Sungai Udang, penyelaras Japerun bertanggungjawab terhadap cadangan itu. – MalaysiaGazette