Oleh: Dr. Safar Sumit Bunyarit & Professor Bersekutu Dr. Aspalilah Alias
TAHUKAH anda bahawa gigi boleh menjadi petunjuk bagi umur seseorang? Gigi adalah struktur badan manusia yang sangat unik dan boleh menjadi identiti istimewa bagi setiap individu. Pembentukan gigi kacip bermula kira-kira empat bulan dalam kandungan, manakala gigi kekal melengkap tumbuh pada usia kira-kira 25 tahun. Biasanya, umur kronologi direkodkan dengan pendaftaran tarikh lahir. Ia menjadi faktor penting dalam menentukan identiti manusia bagi tujuan amalan klinikal, penyelidikan dan undang-undang.
Walau bagaimanapun, apabila gigi dewasa semuanya tumbuh, anggaran umur melalui gigi menjadi agak sukar dibandingkan dengan kumpulan umur kanak-kanak. Penyempurnaan pertumbuhan gigi dewasa juga dipengaruhi oleh banyak faktor lain seperti pemakanan, faktor persekitaran dan lain-lain.
Anggaran umur adalah langkah penting dalam membina profil biologi dari rangka manusia serta digunakan secara meluas dalam menganggarkan umur kronologi kanak-kanak untuk tujuan undang-undang perubatan. Anggaran umur pada kematian dan penentuan jantina mangsa atau jenazah adalah penting untuk membantu dalam proses pengenalpastian. Perbezaan terdapat antara anggaran umur forensik mayat dan rangka yang tidak dikenali untuk tujuan pengenalan di satu pihak dan orang yang hidup di sisi lain.
Dalam kes orang yang hidup, asal genetik dan geografi dan status sosio-ekonomi bersamaan juga mesti diambil kira. Dalam kes mayat, faktor penting ialah kualiti dan kuantiti jenazah manusia. Dalam proses pengenalpastian umur, biasanya pada usia 10-20 tahun, gigi adalah organ yang paling dipercayai dalam menganggar umur. Pelbagai kaedah telah dibina dan diuji untuk menentukan usia individu. Antaranya termasuk pemeriksaan fizikal menggunakan ukuran antropometrik, kematangan rangka, anggaran umur pergigian, gabungan perkembangan pergigian dan pengukuran antropometrik, dan gabungan pertumbuhan rangka dan gigi.
Pelbagai kaedah telah dibangunkan untuk anggaran umur pergigian. Ini merangkumi analisis visual atau klinikal, radiografi, histologi, dan kimia. Setiap kaedah mempunyai kelebihan dan aplikasi yang berbeza berdasarkan teknik dan konteks penggunaannya. Kaedah visual atau klinikal melibatkan pemerhatian visual atau klinikal terhadap pertumbuhan gigi dan perubahan yang berkaitan seperti attrition dan perubahan warna untuk anggaran kasar umur.
Manakala kaedah kedua iaitu kaedah radiografi. Kaedah ini melibatkan penentuaan peringkat perkembangan gigi melalui x-ray. Pendekatan ini tidak invasif, boleh dihasilkan semula, dan digunakan secara meluas. Kaedah histologi pula menyediakan penilaian yang sangat tepat mengenai peringkat perkembangan gigi, terutamanya berguna dalam senario postmortem dan anggaran umur. Manakala dalam analisis kimia, tahap ion dalam pembentukan gigi untuk anggaran umur, bergantung kepada perubahan pemendapan ion dari masa ke masa.
Kesimpulannya, gigi berdiri sebagai organ yang unik yang digunakan dalam anggaran umur, kerana garis masa perkembangannya yang berbeza dan ketahanan terhadap faktor luaran. Kebolehpercayaan dan fleksibilitinya telah menjadikannya sebagai asas dalam penyiasatan forensik, amalan klinikal, dan prosiding undang-undang. Ilmu Odontologi Forensik dan pelbagai kaedah anggaran umur dalam bidang pergigian ini merupakan peranan penting gigi dalam menentukan umur masih sangat diperlukan dalam pelbagai lapangan.
Nabi Muhammad SAW juga amat mementingkan kebersihan gigi. Terdapat banyak hadith berkaitan dengan gigi. Adalah Rasulullah SAW tidak tidur melainkan siwak berada di sisinya, apabila baginda bangun dari tidur, baginda memulakan dengan bersiwak (berus gigi) (HR al-Bukhari). Marilah kita sama-sama menjaga kebersihatan gigi kita, anak-anak dan keluarga bagi mendapat keredhaan Allah SWT.
Penulis dari Fakulti Pergigian, University Sains Islam Malaysia