Tan Sri M. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Mahkamah Pilihan Raya Seremban hari ini membenarkan permohonan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M. Ramasamy ditarik balik.

Hakim, Datin Rohani Ismail membenarkan permohonan Ramasamy selepas mendengar hujahan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang tidak mahu meneruskan petisyen tersebut.

Hakim mendengar hujah peguam, Lau Yi Leong yang mewakili Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran dan Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud dan Noridayu Md Kassim mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bersetuju dengan hujahan Muhammad Shafee.

“Mahkamah membenarkan petisyen pilihan raya dibatalkan dan tiada perintah untuk kos,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan calon BN itu supaya petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan penuh pada 18 Ogos lepas.

Ramasamy tidak mahu meneruskan petisyen berkenaan atas alasan kini kesemuanya di bawah Kerajaan Perpaduan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lalu, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi, mengalahkan Ramasamy; calon Perikatan Nasional, P. Poobalan dan Syed Hairoul Faizey daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), -MalaysiaGazette