A mother tongue spontaneously becomes part of our existence, not only because we learn to speak from the moment we start making meaningful sounds but also because we love the mother tongue.

Oleh: Nurulisyazila Othaman & Siti Hajar Bidin

ADALAH amat penting untuk setiap warganegara menanamkan rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan,” ujar Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek dalam Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023 yang lalu. Kata- kata ini menunjukkan betapa pentingnya untuk memartabat dan memelihara peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta peranan setiap daripada kita agar kedudukan bahasa Melayu terus dipandang tinggi bukan sahaja di Malaysia, malahan di mata dunia.

Bulan Oktober baru sahaja melabuhkan tirainya. Bulan Oktober merupakan bulan yang istimewa dan penting kerana ia merupakan bulan bahasa kebangsaan. Sambutan bulan bahasa kebangsaan ini bukan sahaja disambut di negara kita, malahan turut disambut di negara jiran kita iaitu Singapura. Peranan bahasa Melayu pada masa kini dilihat semakin kurang fungsinya. Penggunaannya dalam kehidupan seharian semakin dipandang enteng tanpa kita sedari. Malahan ada sesetengah individu yang beranggapan, orang yang bertutur menggunakan bahasa Melayu lebih rendah tarafnya berbanding dengan orang yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Nilai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin dipinggirkan. Kepentingannya sebagai bahasa pengantar pendidikan juga semakin berkurangan, khususnya dalam dunia pendidikan tinggi. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan mula dipertikaikan oleh golongan cendiakawan sendiri. Layakkah nilai bahasa Melayu sebegitu keadaannya di tanah air sendiri?

Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum boleh dibanggakan. Penggunaan bahasa Melayu yang standard dalam kalangan masyarakat
di Malaysia boleh dianggap masih lemah. Bahasa Melayu kini yang digunakan dalam kehidupan seharian masih terdapat begitu banyak kekurangan dan kepincangan
disebabkan penggunaan “bahasa rojak” secara sewenang-wenangnya. “Bahasa rojak” atau disebut juga dengan kerancuan bahasa merupakan istilah yang merujuk kepada penggunaan bahasa yang bercampur aduk, bahasa yang cacamarba dan bahasa yang bercelaru. Kerancuan bahasa dapat dilihat dengan begitu meluas dalam kehidupan seharian, sehinggakan dalam media massa pun penggunaannya digunakan tanpa ada rasa bersalah. Martabat dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan begitu tercalar. Sedangkan media massa merupakan medium terbaik dalam penyebaran penggunaan bahasa Melayu yang baik dan standard. Jika sikap sebegini tidak dibendung, di manakah kedudukan dan nilai bahasa Melayu pada masa akan datang?

Generasi hari ini yang mempunyai persepsi bahawa status seseorang itu lebih tinggi apabila mereka bertutur menggunakan bahasa Inggeris, merupakan suatu pandangan yang salah dan tidak tepat sama sekali. Menganggap orang yang bertutur dalam bahasa Melayu sebagai tidak maju dan ketinggalan zaman merupakan suatu tanggapan yang merendahkan nilai bahasa kebangsaan kita sendiri. Dari manakah wujudnya tanggapan sebegini dalam jiwa anak-anak muda kita? Adakah ia hasil didikan ibu bapa atau persepsi yang ditanam oleh masyarakat Malaysia? Adakah itu nilai yang selayaknya buat bahasa kebangsaan kita? Nilai bahasa Melayu yang sering dipandang rendah menyebabkan bukan sahaja komunikasi mereka dalam bahasa kebangsaan ini penuh dengan kerancuan, tetapi juga pencapaian mereka dari segi akademik turut terjejas. Kebelakangan ini, akhbar Kosmo  bertarikh 11 Oktober 2023 (https://www.kosmo.com.my/2023/10/11/matematik-bm-paling-ramai-gagal/) turut melaporkan berkenaan kegagalan sebilangan pelajar menguasai mata pelajaran teras, termasuk mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu. Sudah pasti keadaan ini akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan semua yang terlibat.

Selain itu, latar belakang keluarga juga merupakan salah satu tantangan ketika kita melakukan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan dan memelihara kepentingan bahasa Melayu. Terdapat segelintir ibu bapa yang mendorong dan memberikan penekanan kepada anak-anak mereka dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan seharian. Keadaan seperti ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk memastikan bahasa Melayu terus subur dan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan terus dipelihara. Kita faham harapan dan tujuan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa ketiga. Tetapi, janganlah sampai memperkecilkan kepentingan bahasa Melayu serta membiarkan anak-anak tidak menguasai atau memahami bahasa kebangsaan mereka sendiri. Didikan awal dari rumah adalah amat penting. Jika anak-anak dididik sedemikian rupa, tanpa kita sedari kita sendirilah yang menyebabkan bahasa Melayu dipandang rendah oleh masyarakat luar.

Tiada salahnya mendidik anak-anak agar fasih bertutur dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa ketiga, namun janganlah sampai meminggirkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Malahan, jika anak-anak fasih bertutur dalam pelbagai bahasa, ianya merupakan bonus dan nilai tambah kepada anak-anak. Namun, bahasa Melayu yang menjadi identiti mereka sebagai rakyat Malaysia jangan sesekali dipinggirkan. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kita semua, bukan sahaja milik orang Melayu. Ianya merupakan bahasa bagi semua rakyat Malaysia. Padanya terdapat nilai rakyat Malaysia dan padanya juga terdapat identiti dan jati diri bagi setiap rakyat Malaysia. Bahasa Melayu seharusnya digunakan secara meluas di seluruh negara sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Nilai kenegaraan yang ada pada bahasa Melayu, menjadikannya bahasa yang paling sesuai dalam memupuk nilai-nilai tersebut.

Nilai-nilai ini tidak akan sama penerimaannya, jika disampaikan dalam bahasa, selain bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang boleh difahami oleh setiap
warganegara Malaysia merupakan bahasa yang boleh menyatupadukan semua warganya, walaupun negara kita terdiri daripada kepelbagaian kaum. Dalam hal ini,
pastinya setiap daripada kita mempunyai peranan yang tersendiri. Oleh yang demikian, di manakah inisiatif kita dalam memartabat dan memelihara kedaulatan bahasa kebangsaan di tanah air kita sendiri? Siapakah lagi yang akan memartabat dan memelihara kedaulatan bahasa Melayu, jika bukan kita selaku warganya?
Hakikatnya, usaha untuk memartabatkan dan meletakkan bahasa Melayu di tempat selayaknya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan dan juga bahasa perpaduan semua kaum tidak pernah berhenti. Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan juga pemimpin tertinggi negara sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini. Usaha-usaha yang dilakukan ini perlu disambut baik, bukan sahaja dalam sektor awam, tetapi juga dalam sektor swasta.

Amat menyedihkan apabila bahasa Melayu seolah-olah tiada nilainya dalam sektor swasta. Usaha-usaha kerajaan dalam menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat nasional juga dilihat masih disambut dingin dan kurang mendapat sokongan daripada pihak swasta. Sebagai contoh, masih ada banyak pengumuman atau sidang media contohnya yang masih menggunakan selain bahasa Melayu walaupun ia bertujuan untuk memberi maklumat kepada rakyat Malaysia sendiri.
Tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan peranan-peranan penting lainnya, bukan sahaja terletak pada kerajaan dan sektor awam semata-mata. Setiap daripada kita seharusnya memainkan peranan penting dalam meletakkan kepentingan bahasa Melayu di tempat yang sesuai dengan nilainya sebagai bahasa yang melambangkan identiti Malaysia. Pemimpin di Malaysia mempunyai peranan yang penting dalam mamartabatkan bahasa Melayu dan mereka berupaya memastikan penggunaan bahasa Melayu yang standard dipatuhi, terutamanya yang berkaitan dengan urusan negara dan sektor awam.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, boleh dijadikan contoh terbaik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Beliau telah menggunakan bahasa Melayu yang standard, gramatis dan memperkenalkan istilah-istilah bahasa Melayu yang jarang digunakan dalam ucapan-ucapan yang beliau sampaikan.
Golongan cendekiawan dan bijak pandai di Malaysia pula mempunyai pengaruh mereka yang tersendiri dalam memartabatkan bahasa Melayu dengan kebolehan dan
ilmu yang mereka miliki. Antaranya dengan berkongsi ilmu dalam bahasa Melayu sama ada secara lisan mahupun penulisan serta menerbitkan bahan-bahan ilmiah berbahasa Melayu. Selain itu, golongan cendekiawan dalam bidang-bidang tertentu boleh bekerjasama dengan pakar-pakar bahasa dalam menjalankan aktiviti penterjemahan pada bahan-bahan ilmiah yang sering menjadi rujukan dalam bidang-bidang tertentu.

Usaha seperti ini dapat menjadikan banyak bahan ilmu dalam bahasa Melayu, seterusnya menjadikan bahasa Melayu mampu mengungkapkan kepelbagaian bidang
ilmu tanpa bergantung kepada bahasa asing yang lain. Jika usaha-usaha ini tidak mendapat sambutan dan sokongan setiap daripada kita selaku rakyat Malaysia sendiri, pastinya usaha-usaha ini akan menjadi sia-sia. Guru, pempengaruh, golongan profesional, agamawan, masyarakat umum dan siapa kita sekalipun, tentunya mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam meletakkan nilai yang tinggi kepada bahasa Melayu. Persepsi bahawa bahasa Melayu lebih rendah nilainya berbanding bahasa Inggeris perlu diubah. Persepsi yang menganggap bahasa Melayu tidak sesuai dijadikan bahasa pengantar pendidikan tinggi perlu disanggah. Persepsi
yang menganggap bahasa Melayu tidak sesuai digunakan dalam bidang professional perlu dibantah. Semua nilai ini ada pada bahasa Melayu. Namun untuk meletakkan
nilai-nilai ini, peranan setiap orang perlu diaktifkan. Tantangan yang ada pada bahasa Melayu perlu ditangani bersama, bukan menggantikannya dengan suatu bahasa yang dianggap lebih baik. Semoga bahasa yang kita cintai ini terus dimartabat dan nilai-nilai identiti bangsa yang ada padanya terus subur dan dipelihara.

Penulis merupakan Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)