Israel project
Makalah strategi propaganda rejim Zionis Israel yang ditulis Frank Luntz.

KETIKA berdepan dengan media, pemimpin-pemimpin rejim Zionis Israel termasuk Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu sering memainkan naratif bahawa mereka adalah ‘mangsa’ dalam konflik Palestin-Israel.

Mereka berhujah kononnya Hamas adalah kumpulan militan Islam yang menolak perdamaian serta mengancam keselamatan Israel dan tergamak membunuh orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak untuk mencapai objektif mengusir orang Yahudi dari tanah leluhur mereka sendiri.

Netanyahu dan konco-konconya juga mendakwa kononnya pejuang Hamas yang memulakan tindakan keganasan sekali gus mewajarkan serangan udara ke atas Gaza yang membunuh ribuan nyawa tidak berdosa dan memusnahkan bangunan awam termasuk rumah, masjid, sekolah dan hospital.

Naratif yang mereka mainkan begitu tersusun dan disampaikan dalam nada yang bertujuan memanipulasi pendapat massa di seluruh dunia khususnya warga Amerika Syarikat (AS) agar mereka sentiasa bersimpati dan merestui keganasan yang dilakukan rejim Zionis Israel di Gaza dan Tebing Barat.

Perkara itu tidak menghairankan kerana mereka mempunyai ‘skrip’ yang terkandung dalam makalah bertajuk The Israel’s Project 2009: Global Language Dictionary yang dikarang oleh perunding politik dan komunikasi dari AS, Dr Frank Lutz.

israel project
Frank Luntz – Gambar: Facebook

Menerusi dokumen yang mengandungi 116 halaman itu, Luntz mengesyorkan naratif-naratif propaganda yang boleh dimainkan pemimpin-pemimpin rejim Zionis Israel ketika diasak pihak media mengenai isu konflik Palestin Israel.

Antaranya, pemimpin-pemimpin Palestin termasuk bekas Presiden Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Allahyarham Yasser Arafat telah menyelewengkan dana yang dihulurkan masyarakat antarabangsa untuk bantuan kemanusiaan bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan, membeli senjata dan melatih pengganas.

Beliau turut menyarankan agar beban kesalahan diletakkan di bahu pemimpin-pemimpin Arab yang hidup dalam serba kemewahan namun pada masa yang sama, membiarkan saudara-saudara sebangsa dan seagama mereka di Palestin dalam situasi kemiskinan tegar dan hidup merempat.

AS juga diketahui umum sebagai penyumbang bantuan kewangan terbesar kepada rejim Zionis Israel. Namun sejak akhir-akhir ini, rakyat negara Uncle Sam itu sudah mulai mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut setelah melihat kezaliman yang dilakukan terhadap penduduk Gaza yang tidak berdosa.

Kaji selidik yang dikongsi oleh Luntz dalam makalah tersebut menunjukkan sebahagian besar golongan wanita, Afro-Amerika dan generasi muda bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin.

Untuk menangani permasalahan itu, Luntz mencadangkan agar pemimpin-pemimpin Israel memainkan naratif bahawa rejim itu merupakan satu-satunya harapan AS dalam usaha menjadikan Asia Barat sebagai rantau yang demokratik dan mendukung demokrasi acuan Barat.

Sebagai contoh, beliau meminta mereka menjelaskan bahawa Israel merupakan satu-satunya negara di rantau Asia Barat yang membenarkan wanita terlibat secara aktif dalam politik malah ia pernah mempunyai seorang Perdana Menteri wanita iaitu Golda Meir.

Malah, katanya, orang Arab di wilayah Palestin yang dijajah Israel diberi hak untuk mengundi dalam pilihan raya serta mempunyai perwakilan mereka di Knesset (Parlimen Israel).

Luntz juga ada skrip yang boleh digunakan untuk melunakkan kecaman masyarakat antarabangsa terhadap dasar aparteid yang dikuatkuasakan rejim Zionis Israel khususnya pembinaan tembok pemisah di Tebing Barat.

Menurut beliau, rakyat AS perlu ‘disuap’ dengan hujah kononnya tembok tersebut terpaksa dibina untuk menghalang ‘pengganas’ Palestin daripada menceroboh dan melakukan serangan bunuh diri di kawasan awam di Israel.

Mereka yang mempunyai kefahaman mendalam tentang konflik Palestin-Israel pasti tidak termakan naratif putar belit yang dimainkan Luntz untuk menghalalkan keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Namun, semakin ramai yang mula terpengaruh dengan dakyah palsu karangan Luntz yang disebarkan rejim Zionis dan konco-konconya termasuk di negara ini.

Segelintir rakyat kita termasuk yang beragama Islam mula mempersoalkan tindakan pejuang Hamas melancarkan serangan roket ke Israel pada 7 Oktober lalu selain ada yang berasa sangsi dengan kutipan derma untuk penduduk Gaza yang menjadi mangsa kezaliman Zionis.

Tidak kurang juga yang mempercayai bulat-bulat berita palsu yang disebarkan dalam media sosialnya kononnya pejuang Hamas mencabuli tawanan wanita dan memenggal kepala bayi.

Dalam hal ini, umat Islam termasuk di Malaysia perlu memahami punca sebenar yang menyebabkan rakyat Palestin bangkit menentang penjajahan rejim Zionis Israel.

Mereka seharusnya menyedari bahawa konflik terbaharu di Gaza bukan berpunca daripada serangan roket Hamas ke Israel pada 7 Oktober lalu.

Yang sebenarnya, kebangkitan rakyat Palestin dicetuskan oleh tindakan pendatang haram Yahudi yang didalangi gerakan Zionis menceroboh dan menduduki tanah milik mereka selepas Perang Dunia Kedua.

Luntz juga tahu hakikat itu dan atas sebab itu, beliau meminta pemimpin-pemimpin rejim Zionis tidak menyentuh sejarah silam Israel lebih-lebih lagi sebelum 1967 bagi mengelakkan tembelang mereka pecah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast