Gambar hiasan

KUANTAN – Niat mahu membeli motosikal berharga RM1,500 berakhir dengan kerugian lebih RM25,000 akibat ditipu “Kedai Moto Yong Peng”.

Seorang pekerja kilang di Pekan terpaksa berputih mata selepas diperdaya dalam urusan jual beli motosikal lelong secara atas talian menerusi platform aplikasi Tiktok.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, lelaki berusia awal 50-an itu membuat laporan berhubung kes tersebut pada 4 November lalu.

“Mangsa telah berurusan dengan suspek lelaki Melayu melalui aplikasi whatsapp bagi urusan jual beli motosikal Yamaha LC 135cc berharga RM1,500.00 sahaja.

“Mangsa yang bersetuju telah diarah suspek untuk membuat pindahan wang dan telah membuat transaksi sebanyak enam kali dengan nilai berjumlah RM25,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Zaidi, mangsa menyedari ditipu apabila suspek masih mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang tambahan sebanyak RM15,000 bagi pembelian tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette