KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang didakwa menipu pelabur dengan anggaran kerugian sebanyak RM1 bilion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA).
“Kita kena siasat dulu dakwaan itu yang menyatakan ‘Datuk’ itu dilindungi oleh ‘Tan Sri’. Bila maklumat yang bukan kita keluarkan, kita kena siasat, kita nak sahkan berita dan maklumat itu adalah benar.
“Kalau dia cakap dilindungi oleh ‘Tan Sri’ ke ‘Perdana Menteri’ ke kita kena siasat. Tak boleh terus-terus buat kesimpulan sebab maklumat itu bukan datang dari saya atau JSJK sendiri.
“Memang kita dah minta (JSJK) untuk siasat, kertas siasatan sudah dibuka,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa menipu pelabur dengan menjual nama rakan kongsinya yang bergelar ‘Tan Sri’ melalui 18 syarikat pelaburan.
Selain rakyat biasa, syarikat swasta, kerajaan, golongan profesional seperti doktor serta pelabur antarabangsa didakwa menjadi mangsa lelaki terbabit dengan anggaran kerugian hampir RM1 billion. – MalaysiaGazette