KUALA LUMPUR – Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam aktiviti kemanusiaan Aman Palestin memberikan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Gaza yang kini sedang hebat diserang Israel.
Menurut Pengarah Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni, sumbangan RM2.5 juta diberikan kepada Hospital al-Shifa bagi pembelian kelengkapan perubatan dan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa.
Muhammad Fauzi berkata, Aman Pelestin telahpun menyalurkan RM500,000 kepada rakyat Gaza semasa fasa awal serangan Israel terhadap wilayah Palestin itu.
“Palestin akan memasuki musim sejuk yang bakal menambahkan kesengsaraan dan kesempitan hidup mereka di tengah-tengah kancah peperangan.
‘Pada ketika ini sumbangan seperti selimut, tilam, jaket musim sejuk, kotak makanan, makanan sedia dimakan dan bantuan perubatan menjadi keutamaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
GSPP yang dianggotai 51 NGO melakukan mesyuarat hari ini berhubung situasi terkini yang melanda Gaza. Turut hadiri Pengarah Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.
NGO itu berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong keteguhan rakyat Gaza supaya tidak berpindah dan terus bertahan dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka.
Bagi menggerakkan masyarakat untuk turut berperanan dalam pembebasan Palestin, GSPP telah merancang beberapa aktiviti yang akan dilaksanakan di seluruh Malaysia.
Ia melibatkan penyertaan pihak tempatan, komuniti, masjid, universiti serta badan-badan kerajaan dan swasta.
Aktiviti yang dirancang adalah seperti Konvoi Solidariti Pembebasan Palestin, Jelajah Solidariti Pembebasan Palestin, Larian Solidariti ‘serang Israel’, Wacana Palestin, Kempen 1 Rumah 1 Tabung 1 Bendera dan Kempen Kibar Bendera Palestin.
Kempen di media sosial juga akan dilakukan seperti 11 Minit Untukmu Palestin, video kiriman cinta untuk Gaza dan pelbagai lagi.-MalaysiaGazette