UMNO Akmal
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan sebagai satu kifarah.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, hukuman yang diterima oleh Syed Saddiq memberi peringatan supaya tidak sombong dan menghina orang lain.

“Moga dipermudahkan segala urusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Pengajaran pada diri saya sendiri, jangan sombong dan menghina orang lain ketika kita di tampuk kuasa kerana kifarah itu benar,” katanya ringkas di media sosial.

Kifarah membawa maksud balasan dan ujian Allah di dunia akibat dosa dilakukan seorang hamba-Nya.

Syed Saddiq hari ini dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid.

Menurut Azhar, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta dana milik sayap Angkatan Muda Bersatu (Armada) pada Mac 2020.

Bagi pertuduhan ini, Syed Saddiq diarah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan satu kali sebatan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 sumbangan parti milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sekali sebatan.

Bagi dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta, yang akan berjalan serentak.-MalaysiaGazette