Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang (dua kiri) membuat gimik Prapelancaran Karnival Usahawan Desa 2023 di Seri Pentas, Bandar Utama. Foto FAREEZ FADZIL, 09 NOVEMBER 2023.

PETALING JAYA – Karnival Usahawan Desa (KUD) yang terhenti penganjurannya ekoran Covid-19 kembali diteruskan tahun ini dengan penglibatan lebih 1,000 usahawan.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, penganjuran kali ini menyasarkan akan menerima lebih sejuta pengunjung.

“Kita jangkakan akan disertai lebih 1,000 usahawan desa di seluruh negara dan kita sasarkan kunjungan lebih dari satu juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang (dua kiri) melawat gerai usahawan selepas Prapelancaran Karnival Usahawan Desa 2023 di Seri Pentas, Bandar Utama. Foto FAREEZ FADZIL, 09 NOVEMBER 2023.

“Saya bagi pihak KKDW menjemput semua rakyat terutamanya di Putrajaya dan Selangor untuk hadir.

“Kita jangkaan lebih dari RM10 juta transaksi akan kita buat sepanjang tempoh tersebut melibatkan penjualan tunai dan business macthing yang akan diadakan sepanjang tempoh tersebut,” katanya kepada media selepas prapelancaran Karnival Usahawan Desa KUD @ Putrajaya 2023 di Sri Pentas hari ini.

Program prapelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Hadir sama adalah Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

Bakal berlangsung pada 22 hingga 26 November ini,  ia akan berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Ramlan turut berkata, KUD kali ini akan menghimpunkan usahawan luar bandar antaranya penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari agensi-agensi di bawah kementerian yang sama.

Usahawan yang terlibat merangkumi usahawan yang terbabit terdiri daripada kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kategori kecantikan dan kesihatan, kategori kraftangan dan kategori produk pertanian.

Sebanyak 10 agensi di bawah KKDW akan terbabit dalam karnival berkenaan iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Dalam pada itu, Ramlan berkata, kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar mendapat bimbingan KKDW, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar.

“Mereka berpotensi dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan.

“Program ini juga menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian dari kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, antara aktiviti yang akan dijalankan adalah membabitkan pameran oleh bahagian-bahagian di bawah KKDW dan agensi serta anak syarikat yang memfokus kepada keusahawanan, pendidikan serta penawaran kemudahan-kemudahan yang disediakan.

“Antara adalah Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), Program Onboarding Usahawan, Program Pendigitalan Usahawan (PPU), perkampungan mini Orang Asli, persembahan dron dan bussiness matching MARA.

Beberapa aktiviti tarikan pengunjung dirancang dan bakal dilaksanakan antaranya, Forum Perdana Ehwal Islam Dengan Panelis Jemputan Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Dr. Mohd Erfino Johari, Ustaz Datuk Dr. Zahazan Mohamed; persembahan nyanyian nasyid Rabbani, Unic, InTeam dan Daqmi; perkampungan mini Orang Asli (JAKOA) dan Pertandingan eSport. – MalaysiaGazette