Muhammad Fauzi Asmuni ketika memberikan sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menolak sebarang usaha Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk meletakkan proksi mereka sebagai kerajaan di Gaza bagi menggantikan Hamas selepas gencatan berlaku.

Pengarah Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSSP) Muhammad Fauzi Asmuni berkata, Hamas sentiasa menjadi wakil sah penduduk Gaza selepas memenangi pilihan raya pada 2016.

“Malaysia perlu membantah sebarang proksi daripada PBB di mana-mana negara termasuk di Palestin. Itu yang dilakukan oleh barat daripada dahulu. Selepas perang dunia pertama sebelum Yahudi masuk ke Palestin mereka meletakkan mandat British.

“Format yang sama akan berlaku apabila PBB meletakkan mandat kepada satu badan berkecuali di satu-satu negara. Benda yang berlaku di Palestin merupakan satu sejarah, British pegang amanahlah kononnya tetapi dengan cara itu mereka masukkan Yahudi,” tegasnya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin AS dan Israel yang mahu meletakkan Pihak Berkuasa Palestin di bawah kepimpinan parti Fatah sebagai pentadbir baharu di Gaza bagi mengantikan Hamas.

Muhammad Fauzi berkata, sekiranya negara berkenaan mahu menggantikan Hamas maka pemilihan kerajaan baharu di Gaza perlu dilakukan secara demokrasi yang melibatkan pilihan raya.

“Jadi kalau sekiranya mandat diberikan kepada Fatah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada saya itu mandat yang tidak sah. Mandat perlu datang daripada rakyat.

“Sekiranya hendak kosongkan Gaza daripada pemerintahan dan pengaruh Hamas kembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan. Jadi pilihan rakyat itulah yang menjadi satu keputusan yang muktamad dan sah,” tegas beliau.

Pimpinan GSPP yang hadir dalam mesyuarat hari ini.

Muhammad Fauzi berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama dengan pemimpin 51 badan bukan kerajaan GSPP mengenai tragedi kemanusiaan yang berlaku di Gaza.

GSPP membuat sembilan tuntutan kepada kerajaan termasuk supaya segala sumbangan disampaikan kepada rakyat Palestin di Gaza dan bukan kepada Pihak Berkuasa Palestin atau Fatah yang mempunyai persepakatan dengan Israel.

Gabungan iu turut menuntut kerajaan supaya tidak mengiktiraf penyelesaian two state solution dan mengembalikan peta Palestin yang asal sebelum Deklarasi Balfour 1917.

Mereka turut menuntut supaya Kerajaan tidak sesekali memihak kepada blok barat seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan lain-lain negara yang menyokong pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Kerajaan juga dituntut supaya bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan blok pro- Israel yang cuba menghalang apa-apa bentuk penzahiran solidariti kerajaan dan rakyat Malaysia kepada isu perjuangan pembebasan Palestin.

GSPP juga menuntut kerajaan supaya melobi dan mempengaruhi pendirian negara Islam dan badan antarabangsa dengan memastikan sebarang rundingan atau persetujuan mestilah melibatkan gerakan pembebasan Palestin dan bukan badan yang tidak mewakili majoriti rakyat Palestin.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast