Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan telah mengarahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah diaktifkan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula pada 11 November ini.

Ia bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana bagi menghadapi sebarang kejadian bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula pada 11 November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar.

Jelas beliau, secara keseluruhannya, seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi Kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.

“Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), NADMA telah mula beroperasi 24 jam setiap hari dan akan menyediakan notis serta-merta kepada syarikat-syarikat telekomunikasi bagi tujuan sebaran SMS dan Flash Broadcast secara bersasar kepada
penduduk di kawasan yang berhadapan dengan risiko banjir setelah menerima amaran banjir daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“JPS telah mengenalpasti sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir meliputi 161 buah daerah di seluruh negara.

“Pada masa yang sama, NDCC akan sentiasa berkongsi info terkini dan amaran bencana kepada pelbagai pihak termasuk juga Pegawai Daerah selaku JPBD dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan menambah, semua pihak dinasihati untuk sentiasa peka dengan situasi semasa dan amaran yang dikeluarkan pihak berwajib.

Bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, orang awam turut diminta untuk mematuhi sebarang arahan untuk berpindah dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Kelmarin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan menjangkakan MTL 2023/2024 akan bermula pada 11 November ini sehingga Mac depan.

Sepanjang tempoh ini, negara dijangka mengalami sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang berpotensi mengakibatkan kejadian banjir khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Selain itu, untuk tempoh Februari hingga Mac 2024, dijangkakan negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah, utara Sarawak dan Labuan diramalkan mengalami kekurangan jumlah taburan hujan. – MalaysiaGazette