Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah beliau berhubung dakwaan salah guna kuasa berkaitan tanah dan bangunan Yayasan Budi di Mukim Klawang, daerah Jelebu.

Sebelum ini, Rais telah difitnah sebagai pemimpin yang tidak amanah dan mengambil hak dan kepentingan ke atas tanah tersebut yang pada tahun 1978 diperolehinya untuk UMNO Bahagian Jelebu daripada Allahyarham Ibrahim Mansor iaitu bekas Ketua UMNO Bahagian Jelebu pada waktu itu.

Rais menegaskan, sepatutnya di dalam parti politik perlu ada budi bahasa dalam bicara dan menghormati hak seseorang apatah lagi sebagai pemimpin yang disegani.

“Segala langkah dan perbuatan ke atas tanah lot tersebut adalah mengikut bidang kuasa undang-undang di bawah Power Of Attorney (PA) yang wujud dan didaftarkan serta diserahkan oleh UMNO Bahagian Jelebu pada Januari 2013 kepada beliau.

“Individu-individu yang menfitnah dan menohmah beliau sebagai menyalahguna kuasa atas kepentingan tanah tersebut akan diheret ke mahkamah sekiranya mereka tidak menarik
balik segala tuduhan ke atas beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rais berkata, semua rakaman video dan audio sedia ada di dalam simpanan beliau akan menjadi sumber keterangan utama dalam usaha dan langkah untuk membersihkan semula imej dan nama baik beliau.

Beliau turut memberikan pandangan bahawa budaya memburukkan dan memperkecilkan mana-mana pemimpin terdahulu harus dibuang demi membentuk masyarakat yang saling menghormati, bertamadun dan beragama.

“Pembinaan bangunan Yayasan Budi di atas tanah lot 1553 Mukim Klawang, Daerah Jelebu adalah persetujuan dan bidang kuasa dibawah Power Of Attorney (PA),” ujarnya.

Rais mengingatkan kepada pihak berkenaan supaya jangan ambil mudah dan lupa akan dokumen yang ada yang memberi kepatuhan kepada undang-undang.

Rais yang diiringi sekumpulan pemimpin tempatan dilihat hadir ke Balai Polis Kuala Klawang membuat laporan dan pihak berkuasa telah sedia maklum tentang isu tersebut. – MalaysiaGazette