PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang anggota sebuah agensi penguat kuasa di Johor kerana disyaki meminta ‘habuan’ dalam bentuk seks daripada seorang wanita.
Sumber memberitahu, suspek lelaki itu disyaki melakukan perbuatan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas wanita berkenaan kerana gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan kes dadah.
Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan ketika bersama wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu dalam satu operasi khas di sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira 7.30 malam tadi.
Beliau berkata, wanita tersebut dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelak daripada diambil tindakan, suspek telah meminta habuan seks daripada wanita berkenaan.
“Wanita tersebut dipercayai pernah ditahan sebelum ini kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru,” katanya.
Susulan penahanan tersebut, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi hari ini telah mengesahkan penahanan suspek.
Kata beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette