Buku Lensa: Disebalik Kisah Pembikinan Filem Malaysia yang kini diterbitkan dalam bahasa Melayu.

KUALA LUMPUR – Selepas menerbitkan beberapa filem terkenal seperti Show Me Your Love, Haunted Hotel dan Zombitopia, penerbit Aron Koh kini mengeluarkan Buku Lensa: Di Sebalik Kisah Pembikinan Filem Malaysia yang kini di dalam bahasa Melayu.

Sebelum ini buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris berjudul ZOOM IN: The Untold Story of Malaysian Filmmaking menceritakan tentang pengalaman Aron selama 18 tahun dalam industri perfileman.

Aron harap perkongsiannya itu dapat memberi manfaat kepada pembikin filem muda di mana garapan pengalaman dan pandangannya diterjemahkan sebaik mungkin agar dapat memberi manfaat bagi membantu menghasilkan karya yang lebih baik.

Majlis pelancaran Buku Lensa: Disebalik Kisah Pembikinan Filem Malaysia disempurnakan Datuk Kamil Othman (kiri).

Jelasnya, ia sekaligus dapat digunakan bagi tujuan pendidikan kepada mereka yang berminat dalam industri perfileman Malaysia agar dapat memahami peraturan industri, menganalisis proses pembikinan filem dan mengenalpasti faktor kejayaan sesebuah filem, sebagai serta adaptasi trend industri pasca pandemik.

“Buku ini meringkaskan pengalaman lebih 18 tahun saya dalam industri yang banyak mengaitkan karyanya sendiri dan contoh-contoh lain untuk menerangkan proses pembikinan filem, bagaimana industri filem berfungsi dan faktor kejayaan sesebuah filem.

“Saya yakin buku ini dapat memberi inspirasi dan pandangan kepada pembikin filem atau pendatang baharu dalam industri perfileman yang sedang menunggu peluang serta pendedahan kepada pembuat filem luar negara tentang industri perfileman dalam Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran buku itu baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman.

Aron berpengalaman sebagai Pengurus Besar Akademi Filem dan TV Limkokwing, pensyarah kanan Produksi Filem dan TV dan ramai pelajarnya kini turut berkecimpung dalam industri perfileman.

Mengulas lanjut tentang proses pembikinan buku tersebut, Aron bertekad untuk mengeluarkan buku tersebut semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Ketika itu, saya mempunyai banyak masa di rumah yang membolehkan saya menumpukan perhatian dan menghabiskan buku ini. Saya memilih untuk menulis buku ini sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dahulu adalah kerana saya mahu lebih ramai orang, malah warga asing memahami situasi filem tempatan kita.

“Matlamat utama saya adalah menggalakkan rakan sekerja saya dalam industri untuk tidak berputus asa walaupun selepas mengalami pandemik Covid-19, harapan sentiasa ada dan kami akan mempunyai lebih banyak peluang selepas ini,” katanya.

Aron yakin bukunya akan memberi inspirasi dan pandangan kepada pembikin filem baharu, lepasan ijazah dan mereka yang sedang menunggu peluang serta pembikin filem luar negara tentang industri filem.

“Industri perfileman global telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, pawagam terpaksa dihentikan operasi, penerbitan filem dihentikan, pembangunan industri berada dalam risiko.

“Namun kemunculan platform penstriman digital seperti Netflix, Disney dan iQiyi telah membuka lebih banyak peluang pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Aron menerusi syarikatnya iaitu Lomo Pictures Sdn. Bhd. turut memperkenalkan projek terbaharu terdiri daripada empat filem dan satu dokumentari yang bakal ditayangkan tahun hadapan. – MalaysiaGazette