Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Selepas tempoh 48 yang diberikan kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad untuk membuktikan tuduhan Lim Guan Eng mempunyai hubungan dengan persaudaraan Chin Peng dan Lee Kuan Yew tamat  – Pengerusi DAP itu hari ini memulakan tindakan saman.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, tindakan itu diambil kerana mendapati Siti Mastura membuat fitnah dan dakwaan tidak benar kepada beliau, isterinya, Betty Chew dan beberapa lagi pempimpin parti itu.

“Saya telah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguam untuk memulakan prosiding undang-undang dan tindakan jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura atas ucapan kebenciannya terhadap saya.

“Siti Mastura membuat ucapan kebencian itu di sebuah acara Pas di Kemaman pada 4 November lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng di Dewan Rakyat memberikan Siti Mastura tempoh 48 jam untuk mengemukakan bukti dirinya mempunyai tali persaudaraan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada penularan satu video ucapan Siti Mastura dalam program parti itu di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Dalam video berkenaan, beliau jelas menyatakan Guan Eng dan bapanya, Kit Siang mempunyai hubungan sepupu dengan Chin Peng dan Kuan Yew.

Mastura turut mendakwa Guan Eng juga mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP lain seperti Anthony Loke, Nga Kor Ming, Teresa Kok dan Datuk Ngeh Koo Ham.

Dalam pada itu, Guan Eng juga menggesa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap dakwaan yang dibuat Siti Mastura.

Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin harus menyatakan pendirian mereka mengenai fitnah terlampau Siti Mastura terhadap Kit Siang, saya dan DAP.

“Perhatian yang sama adalah sikap penyokong Pas yang terus-menerus mendukung dan memuji Siti Mastura hanya kerana fitnahnya telah menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin dan penyokong DAP serta rakyat Malaysia biasa.

“Penyokong Pas tidak peduli bahwa dia telah berbohong atau membuat kenyataan perkauman dan ekstremis asalkan itu melawan pemimpin DAP,” kata Guan Eng lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MP Kepala Batas diberi 48 jam buktikan Guan Eng anak saudara Chin Peng

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast