Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo bersama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mencabar Ahli parlimen Kepada Batas, Siti Mastura Muhammad untuk mengemukakan bukti bahawa beliau mempunyai tali persaudaraan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Ahli Parlimen Bagan itu turut memberi tempoh 48 jam kepada Siti Mastura bagi membuktikan dakwaan beliau.

“Jelas ia bukan saja satu serangan peribadi tetapi ia berbaur perkauman dan hasad dengki terhadap pihak kami khususnya kepada saya dan ayah saya sungguhpun sudah bersara masih menjadi sasaran oleh Ahli Parlimen Pas. Malah, surname pun lain. 

“Kalau anda sebagai rakyat Malaysia tak tahu surname, tak ada hubungan keluarga memang seperti katak di bawah tempurung.

“Saya rasa dia tahu apa yang dia ucap, harap dia boleh tunjukkan bukti, kita tunggu, kalau selepas Khamis ini tak ada apa-apa bukti ditunjukkan tentang hubungan keluarga, kita akan ambil tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada penularan satu video ucapan Siti Mastura dalam program parti itu di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Dalam video berkenaan, beliau jelas menyatakan Guan Eng dan bapanya Kit Siang mempunyai hubungan sepupu dengan Chin Peng dan Kuan Yew.

Mastura turut mendakwa Guan Eng juga mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP lain seperti Anthony Loke,  Nga Kor Ming, Teresa Kok dan  Datuk Ngeh Koo Ham. – MalaysiaGazette