Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor, Bangunan Annexe, Shah Alam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 10 NOVEMBER 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mewujudkan Pusat Kepintaran Buatan Selangor melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1 juta bagi meneroka industri baharu membabit teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penerokaan itu bagi memastikan Selangor merebut peluang luas dalam industri ini di mana mempunyai kesan limpahan dalam memantapkan sistem perkhidmatan kerajaan.

“Penggunaan industri permainan kepada teknologi merentasi sektor yang melibatkan machine vision bagi penganalisaan data melalui imej dan video, machine learning dan Natural Language Processing.

“Ia berjaya membuka potensi aplikasi Chat GPT yang menggunakan teknologi GPT3 serta industri kesihatan dan perubatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM2 juta bagi meneroka dan membangunkan teknologi dron.

Beliau berkata, industri dron bukan sahaja terbatas kepada penggunaan mengambil gambar atau pun video secara rekreasi, tetapi mempunyai peluang penggunaan yang semakin berkembang.

“Kini teknologi dron berkembang dalam industri pertanian pintar, industri pembinaan bagi menilai keselamatan bangunan dan penyelenggaraan, logistik serta aspek keselamatan dan pertahanan.

“Dengan langkah itu Selangor bakal menjadi salah satu pusat pembangunan dron utama di Asia Tenggara. Kita sudah mempunyai syarikat Aerodyne yang terkenal di persada dunia dalam bidang penilaian dan perisian dron.

“Kini bidang hardware harus diteroka supaya Selangor tidak menjadi sekadar bit-part-player tetapi pemain utama dalam industri pembinaan dron melalui kerjasama syarikat antarabangsa Turkish Aerospace (TUSAS) dengan anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu SELATI,” katanya lagi. – MalaysiaGazette