Aspirasi Pendigitalan Tingkatkan Kecekapan dan Keberkesanan Pelaksanaan Majlis Konvokesyen UTeM
MELAKA – Bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19, UTeM telah mula melaksanakan sistem dan proses penganjuran Majlis secara pendigitalan.
Majlis Konvokesyen UTeM ke-19 telah berlangsung dengan jayanya pada 4 hingga 6 November yang lalu bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pelaksanaan pendigitalan merangkumi proses sebelum, semasa dan selepas penganjuran majlis konvokesyen.
Ujarnya, perkara ini selari dengan aspirasi nasional yang mana Univerisiti Awam perlu pro aktif dalam memperkasakan pendigitalan dalam proses dan gerak kerja urusan berkaitan.
“Sehubungan dengan itu, UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu terus dinamik menerapkan pendigitalan secara sepenuhnya dan proses ini memberikan pendedahan langsung kepada staf , pelajar, graduan dan juga ibu bapa,” ujarnya dalam kenyataan yang diberikan.
Katanya, menyentuh mengenai pendigitalan, secara operasinya ia melibatkan beberapa komponen antaranya platform laman sesawang majlis konvokesyen yang menjadi rujukan utama dan panduan yang memudahkan urusan kepada para graduan dan ibu bapa.
“Turut dibangunkan adalah sistem permohonan jubah graduan dan hal ini menjadi pemangkin kepada penjimatan masa dan melancarkan proses pengagihannya secara fizikal dengan lebih efisien.
Sistem permohonan jubah ini juga dilengkapi dengan pautan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dibangunkan oleh pihak KPT bagi mengetahui status pekerjaan graduan setelah tamat pengajian serta mendapatkan pandangan graduan berhubung program pengajian, kemudahan dan perkhidmatan di Institusi Pendidikan Tinggi.
Secara tidak langsung, kajian ini juga dapat mengukur kebolehpasaran graduan UTeM.
“Sistem ini juga telah diintegrasikan dengan sistem pengurusan kewangan universiti bagi memudahkan operasi transaksi kewangan graduan dan universiti,” katanya lagi.
“Sementara itu Code QR diperluaskan penggunaannya kepada graduan dalam urusan seperti pas kenderaan, pas masuk dewan dan kehadiran staf akademik sewaktu majlis,“ katanya.
Massila berkata, UTeM turut menyediakan buku konvokesyen secara digital (e-book convocation) yang mana setiap graduan, ibu bapa dan tetamu kenamaan boleh mencapai e-book convocation tersebut di laman sesawang Majlis Konvokesyen UTeM.
Tambah beliau, pihak vendor bagi urusan gambar rasmi konvokesyen graduan juga menyahut ke arah pendigitalan dengan menyediakan platform permohonan dan pembayaran gambar secara dalam talian. – MalaysiaGazette