Sebuah rumah di Taman Surian, Mantin di Negeri Sembilan yang melakukan kerja ubah suai kediaman tanpa kelulusan. Foto media sosial.
KUALA LUMPUR – Pemilik sebuah rumah di Taman Surian, Mantin di Negeri Sembilan yang melakukan kerja ubah suai kediaman tanpa kelulusan telah dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Seremban sebelum ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, pendakwaan terhadap pemilik kediaman itu dilakukan mengikut Peruntukan Seksyen 70(13) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Mahkamah telah mendapati pemilik berkenaan bersalah dan telah dikenakan hukuman denda, penjara sekiranya jumlah denda tidak dijelaskan.

“Berikutan sabitan bersalah tersebut, pemilik tidak dibenarkan melaksanakan sebarang kerja-kerja pembinaan di premis tersebut sehinggalah mendapat kelulusan daripada MBS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun Masri berkatanya, sehingga kini, MBS masih belum menerima sebarang permohonan kelulusan pelan daripada pemilik dan pihaknya sentiasa memantau premis tersebut bagi memastikan kerja-kerja pembinaan tidak dijalankan.

Sementara itu katanya, warga bandar raya Seremban diminta untuk mendapatkan kelulusan bagi kerja-kerja pengubahsuaian bagi menjaga aspek keselamatan dan mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum.

“Sebarang aduan, pertanyaan dan cadangan boleh hubungi Majlis Bandaraya Seremban di talian 06-7654333 atau 7654444 atau kemukakan terus melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my,” katanya.

Kelmarin media melaporkan, meskipun sudah lebih setahun berlalu, sepasang suami isteri di taman berkenaan masih terpaksa menanggung resah dek kerja-kerja pengubahsuaian rumah jirannya yang didakwa tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelas pasangan itu pihaknya difahamkan mahkamah telah pun mengeluarkan arahan supaya pemilik merobohkan struktur tambahan itu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan. – MalaysiaGazette