NEW YORK – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan kebimbangan berikutan terputus komunikasi dengan penyampai maklumat badan itu di pusat kesihatan terbesar di Gaza, Hospital al-Shifa.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya berharap penyampai maklumat tersebut menyertai puluhan ribu yang lain menyelamatkan diri ke selatan Gaza.
“Memandangkan laporan mengerikan tentang hospital yang menghadapi serangan berulang terus muncul, kami mengandaikan kenalan kami menyertai puluhan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal dan sedang melarikan diri dari kawasan itu. Sangat membimbangkan dan menakutkan,” katanya melalui ciapan di X.
Beliau berkata, hospital tersebut menghadapi serangan berulang daripada regim Zionos dan terdapat laporan bahawa beberapa orang yang melarikan diri dari hospital telah ditembak, cedera, atau terbunuh.
“Laporan terbaru mengatakan hospital itu dikelilingi oleh kereta kebal. WHO amat mengambil berat tentang keselamatan pekerja kesihatan, ratusan pesakit yang sakit dan cedera, termasuk bayi yang mendapat sokongan nyawa, dan orang yang dipindahkan yang masih berada di dalam hospital,” katanya.
WHO menurutnya, sekali lagi menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza sebagai satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan tahap penderitaan yang mengerikan.
Badan kesihatan global itu turut menyeru agar pemindahan perubatan yang berterusan, teratur, tanpa halangan dan selamat bagi pesakit yang cedera dan sakit kritikal.
Sementara itu Pejabat WHO bagi Timur Mediteranian berkata, Hospital Al-Shifa telah menerima serangan daripada Israel dalam tempoh 48 jam yang lalu yang mengakibatkan kematian dan kecederaan.
“Unit rawatan rapi mengalami kerosakan akibat pengeboman, manakala kawasan hospital di mana orang kehilangan tempat berteduh juga telah rosak.
“Kakitangan melaporkan kekurangan air bersih dan risiko baki fungsi kritikal terakhir, termasuk ICU, ventilator dan inkubator, tidak lama lagi ditutup kerana kekurangan bahan api, meletakkan nyawa pesakit pada risiko serta-merta,” katanya.-Agensi