Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memahami masalah ekonomi ketika memangku jawatan Perdana Menteri pada 1997.

Menurut bekas perdana menteri itu, beliau terpaksa memendekkan cuti yang dijadualkan selama tiga bulan apabila mendapati Anwar tidak mampu menangani krisis kewangan akibat serangan penyangak mata wang.

“Waktu memberi peluang kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri, saya dapati dia tidak mampu nak tangani masalah. Terutama apabila datang masalah krisis kewangan.

“Dia seolah-olah tidak faham masalahnya. Sudah tentu bila tak faham masalah kita tak boleh design cara mengatasi masalah. Dia suka menurut apa yang dinasihat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Jadi saya berpendapat bahawa tak bolehlah bercuti, saya balik dan langsung ambil alih tugas. Saya tubuh satu jawatankuasa baru luar daripada Kabinet,” kata Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam program Keluar Sekejap yang dikendalikan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan apabila ditanya mengapa percutiannya selama tiga bulan pada 1997 yang terpaksa dipendekan.

Menurut Khairy, terdapat laporan bahawa Dr.Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar sebaik sahaja percutian tamat.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, jawatankuasa baharu tersebut mengumpulkan pakar perbankan, pakar kewangan dan peguam bagi memberi pendapat masing-masing.

“Ketika itu Kabinet atau pentadbiran kerajaan tidak mempunyai pakar, jadi kita ambil pakar daripada luar dan ketika itu Anwar turut berada di situ (dalam jawatankuasa).

“Saya masih membenarkan Anwar memberi pendapat, tetapi pendapat dia lebih kepada mahu menurut nasihat IMF dan Bank Dunia,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, langkah yang mahu diambil oleh Anwar berdasarkan nasihat IMF dan Bank Dunia akan menyebabkan negara tidak akan cukup duit termasuk untuk membayar gaji kakitangan awam.

Beliau menjelaskan tindakan berkenaan menimbulkan masalah kepada bank apabila berlaku kejatuhan nilai mata wang ringgit.

“Ketika Anwar (mahu) ikut kehendak IMF, mata wang masih cukup. Bila kita tegur saja, dia (IMF) ini sengaja menurunkan nilai mata wang kita.

“Bila mata wang kita menurun, kita jadi miskin. Benda yang dahulu kita boleh beli dengan RM100 sekarang kita kena beli dengan RM120 ataupun kita jadi lebih miskin,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast