Avi Dichter ketika diwawancara oleh televisyen Israel

TEL AVIV – Pemimpin Israel tidak menyembunyikan niat sebenar mereka apabila mengarahkan lebih 1 juta penduduk di utara Gaza ‘berpindah’ ke selatan.

Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Israel, Avi Dichter secara terus terang berkata, tindakan tersebut merupakan ‘Nakba’ atau bencana besar terhadap penduduk Palestin buat kali kedua.

Dalam wawancara dengan televisyen tempatan, ketika ditanya sama ada rakyat Gaza mempunyai tempat untuk kembali selepas perang, Dichter memberitahu Channel 12  “kami kini sebenarnya, melancarkan Nakba Gaza.”

Nakba merujuk peristiwa pengusiran besar-besaran penduduk Palestin pada tahun 1948 apabila lebih 700,000 penduduk  dihalau dari negara  mereka oleh rejim Israel.

Mereka melarikan diri daripada dibunuh militan Zionis yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di kampung, pekan dan bandar.

Israel mengulangi Nakba kedua terhadap penduduk Palestin dengan mengebom dan melancarkan operasi darat yang telah menyebabkan lebih 11,000 maut dan lebih sejuta terpaksa melarikan diri dari utara ke selatan.

Beberapa pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata, tentera Zonis akan terus berada di Gaza walaupun selepas serangan ke atas penduduk awam tamat.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast