Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media ketika mengumumkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu ketika di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Parlimen Kemaman bukanlah kubu kuat Pas, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tetapi, kekalahan calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kepada calon Pas, Che Alias Hamid berpunca daripada kebencian terhadap UMNO.

“Kemaman adalah kubu kuat UMNO namun disebabkan fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO khususnya dan BN serta penggunaan sumber-sumber kewangan yang sangat luar biasa pada ketika itu, maka kita kekurangan kira-kira 27,000 undi di Kemaman.

“Maka kali ini, dengan persetujuan perhubungan dan BN Terengganu serta ketua-ketua UMNO bahagian, UMNO meletakkan seorang tokoh mewakili BN di Kemaman,” katanya dalam sidang media pengumuman calon BN di PRK Kemaman, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Zahid berkata, tiba masanya untuk BN meletakan calon langsung di PRK Parlimen Kemaman seperti yang pernah dilakukan di PRK Cameron Highlands pada tahun 2019.

“Tiba masanya (untuk letak calon langsung) kerana Kemaman ini bukan kubu kuat Pas, kita letakkan calon yang diberi kepercayaan oleh UMNO.

“Calon yang diabsahkan oleh UMNO untuk mewakili rakyat Kemaman di Dewan Rakyat nanti,” katanya lagi.

Dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, BN mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calonnya pada PRK Kemaman pada 2 Disember depan.

Raja Mohamed Affandi, 66, yang dilahirkan di Besut pernah tersenarai sebagai calon untuk di Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

PRK itu diadakan selepas keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu pada PRU15 tahun lepas berhubung isu rasuah.

Kerusi itu dimenangi oleh Che Alias Hamid dari Pas dengan majoriti 27,170 undi mengatasi pesaing terdekatnya, bekas menteri besar UMNO, Datuk Seri Ahmad Said, yang bertanding atas tiket BN. – MalaysiaGazette